UiTM Sarawak harumkan nama negara di Hong Kong

Pasukan Golden Hornbill Drumline (GHD) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak muncul juara di Hong Kong International Youth Marching Band Competition 2017 yang di adakan di beberapa lokasi pertandingan di Hong Kong pada 8 dan 9 Julai yang lalu. - dayakdaily.com

KOTA SAMARAHAN: Pasukan Golden Hornbill Drumline (GHD) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak muncul juara di Hong Kong International Youth Marching Band Competition 2017 yang di adakan di beberapa lokasi pertandingan di Hong Kong pada 8 dan 9 Julai yang lalu.

Pertandingan yang di anjurkan oleh All Hong Kong Marching Band Union and World Association of Marching Show Band telah diadakan di Culture Centre Tsim Sha Tsui, Victoria Harbour bagi kategori Drum Solo Battle dan Color Guard Solo Battle.

Kategori Street Parade pula telah berlangsung di Taman Harcourt Road, Admiralty, manakala kategori Drumline Battle telah diadakan di Southorn Stadium, Wan Chai.

Jurulatih Pasukan,Kester Bakiaraj berkata, kemenangan pasukan GHD yang terdiri daripada 18 orang pelajar dari pelbagai fakulti di UiTM Sarawak telah mengalahkan beberapa pasukan handal dari negara lain termasuklah pasukan dari Filipina yang memberi saingan sengit untuk setiap kategori yang dipertandingkan.

“Selain memenangi Johan Keseluruhan pertandingan tersebut, pasukan Golden Hornbill Drumline turut memenangi beberapa kategori yang lain iaitu tempat kedua dan ketiga Drum Solo Battle​​, johan kategori Color Guard Solo Battle​, tempat kedua Street Parade​​ (International Category) dan johan Drumline Battle​​,” katanya.

Kemenangan pasukan ini diraikan dengan meriah di Dewan Jubli, Kampus Samarahan pada pagi tadi.

Ketua pasukan GHD, Christopher Matthias telah menyerahkan piala kemenangan kepada Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dato Dr Jamil Hamali.

Jamil berharap agar pasukan Golden Hornbill Drumline dapat mengekalkan semangat juang yang tinggi untuk pertandingan-pertandingan yang akan datang.

“Kita mengucapkan tahniah kepada mereka kerana mengharumkan nama UiTM Cawangan Sarawak di peringkat antarabangsa,” katanya. – dayakdaily.com