Turun padang tingkatkan majoriti undi dalam PRU-14

(Duduk Dari kanan) Pengerusi PBB DUN Machan Datuk Gramong Juna, Anggota Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang dan Anggota Dewan Undangan Negeri Machan bersedia untuk melakukan upacara miring pada majlis Ngiling Bidai Gawai 2017 DUN Machan di Dewan Pejabat Daerah Kanowit malam tadi. - dayakdaily.com

KANOWIT: Anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di kawasan Dewan Undangan Negeri Machan digesa untuk bersama-sama turun padang pada Pilihan Raya Umum(PRU) ke-14 bagi meningkatkan majoriti undi Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Kanowit.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Allan Siden Gramong berkata, ini penting supaya segala perancangan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan di Kanowit dapat dilaksanakan untuk semua lapisan masyarakat.

Katanya, adalah menjadi tugas PBB yang menjadi tulang belakang BN di negeri Sarawak untuk membantu parti-parti komponen yang lain.

“Bantu-membantu sesama parti komponen BN adalah semangat yang telah lama ada di dalam PBB.

“Semangat itulah yang menjadi kekuatan kepada kita selama ini khususnya menerusi interaksi yang rapat antara anggota parti,” katanya.


Beliau berucap pada majlis Ngiling Bidai DUN Machan yang dianjurkan oleh Pergerakan Wanita PBB dan Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Kanowit malam tadi.

Turut hadir ialah pengerusi PBB DUN Machan Datuk Gramong Juna dan Anggota Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang.

Aaron dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) menewaskan Ellison Ludan (Sarawak Workers Party) dan Thomas Laja (Parti KeAdilan Rakyat) dengan 8,046 undi dan 3,042 majoriti untuk memenangi kerusi Parlimen Kanowit pada PRU13 yang lalu. – dayakdaily.com