TUDM bantu hantar kelengkapan, peralatan perubatan ke Sibu 

Pesawat yang membawa kelengkapan tersebut tiba di Sibu hari ini.

KUCHING,17 Okt:  Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membantu menghantar kira-kira enam tan kelengkapan pelbagai peralatan perubatan untuk keperluan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia Sibu (HMATMS).
Briged Kesembilan Infantri Malaysia berkata, berkata pesawat pengangkut jenis A400M  berlepas dari Pangkalan Udara Subang (PU Subang) pada jam 7 pagi dan selamat tiba di Lapangan Terbang Sibu pada jam 8.50 pagi.
Jelasnya, kelengkapan yang dihantar terdiri dari khemah DRASH, khemah Utilis, pendingin hawa mudah alih, pemampat oksigen dan lain-lain lagi.
“Barangan logistik dan perubatan tersebut akan digunakan oleh petugas barisan hadapan dalam usaha melengkapkan keperluan HMATMS yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat.
“Penubuhan HMATMS ini bertujuan untuk membantu pihak Hospital Sibu menguruskan pesakit bukan kes Covid-19 sekaligus meringankan tugas staf perubatan di Hospital Sibu.
“Manakala penubuhan Pusat Penilaian Covid-19 (CACen) adalah untuk memberikan rawatan khusus kepada kes Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah pesawat tersebut dikendalikan oleh Juruterbang, Mejar Mohd Hafiz Mat Yusof dibantu oleh Kapten Noor Mohamad Farhan Mohamad Noor dan Kapten Muhammad Idris Ismail bersama empat kru dari No. 22 Skuadron.
Tambahnya, seramai 10 pegawai dan 20 anggota dari 9 Briged turut bersama-sama turun padang bagi membuat penerimaan barangan tersebut.
“Sebanyak 10 lori tiga tan diatur gerakkan untuk membawa barangan perubatan ke HMATMS,” katanya.
Turut hadir menyaksikan penerimaan barangan tersebut ialah Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Shamshor Jaafar dan Timbalan Komander Rejimen 510 Askar Wataniah merangkap Ketua Tim Persiapan HMATMS, Leftenan Kolonel Ahmad Halim Mohd Rosli. — DayakDaily.