Tragedi pilu, wanita warga emas ditemui rentung (video)

BINTANGOR – Pilu bercampur kesal perasaan ahli keluarga seorang wanita warga emas apabila mereka gagal menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kebakaran di Rumah Panjang Edmond Labang di Jalan Tulai, di sini hari ini.

Apakan daya, meskipun kejadian itu berlaku di depan mata, mereka gagal menyelamatkan mangsa yang sakit tua apabila api marak dengan begitu cepat membakar rumah panjang 35 buah pintu tersebut.

Tragedi pilu yang berlaku kira-kira pukul 12.15 tengah hari mengakibatkan mangsa, Saripah Serang, 83, meninggal dunia dalam keadaan rentung di bawah timbunan kebakaran itu.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 12.17 tengah hari.

Menurut beliau, dua pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dan BBP Sarikei kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja pemadaman api.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah panjang berkenaan.

“Anggota kemudian bertindak pantas melakukan operasi memadam api kerana bimbang kebakaran itu merebak ke tiga buah rumah yang berhampiran,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong berkata, disebabkan api cepat marak, kebanyakan penduduk rumah panjang tersebut tidak sempat menyelamatkan dokumen-dokumen penting serta peralatan rumah masing-masing.

Katanya, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran itu sepenuhnya pada pukul 2.40 petang.

“Setakat ini, jumlah penduduk yang terjejas termasuk punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – dayakdaily.com