Toyota Hilux rempuh motosikal, lelaki maut akibat kecederaan parah pada kepala

Kejadian kira-kira pukul 10.40 malam itu mengakibatkan mangsa, Mohammad Bolhassan Ismail, 27, dari Kampung Lubuk Punggur, Simunjan meninggal dunia di lokasi kemalangan. - PDRM

KOTA SAMARAHAN – Malang menimpa seorang lelaki apabila dia maut selepas motosikal yang ditunggangi dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Jalan Kota Samarahan-Ensenggei di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 10.40 malam itu mengakibatkan mangsa, Mohammad Bolhassan Ismail, 27, dari Kampung Lubuk Punggur, Simunjan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, DSP Bingkok John berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan selepas mengalami kecederaan parah pada kepalanya.

Menurut beliau, pemandu Toyota Hilux tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun tiba-tiba memasuki laluan lalu merempuh motosikal mangsa.


“Impak pelanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan raya dan menyebabkan lelaki malang berkenaan parah pada bahagian kepalanya,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, siasatan awal mendapati cuaca hujan semasa kejadian berlaku.

Jelasnya, pihak polis sudah merakamkan keterangan daripada pemandu kenderaan pacuan empat roda itu.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -dayakdaily.com