Toyota Hilux bawa muatan sawit terbalik, seorang lelaki maut akibat tersepit

Kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu mengakibatkan mangsa, Kadum Geraik, 59, meninggal dunia selepas tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu. - JBPNS

LUNDU – Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandunya dipercayai terbabas lalu terbalik di Jalan Sampadi di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu mengakibatkan mangsa, Kadum Geraik, 59, meninggal dunia selepas tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pusat gerakan operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.17 pagi.

Menurutnya, sejurus menerima laporan kemalangan itu, seramai 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikerahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah Toyota Hilux yang membawa muatan kelapa sawit berada dalam keadaan terbalik di bahu jalan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki telah tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu dan tiada penumpang atau kenderaan lain yang terlibat dalam insiden itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

Jelasnya, sejurus berjaya dikeluarkan, mangsa didapati sudah tidak bernyawa sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Lundu.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lundu untuk tindakan selanjutnya sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

“Sebelum berangkat pulang ke balai, anggota bomba turut membersihkan sisa-sisa kemalangan di lokasi kemalangan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain terjamin.

“Pihak polis juga telah dimaklumkan berhubung kejadian itu dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.05 pagi,” katanya lagi.- dayakdaily.com