Tonjol identiti masyarakat Kenyah, KELEPUT juara pertandingan perahu berhias Regatta Baram

MARUDI: Kelab Kelestarian Warisan Kenyah Long Moh Baram (KELEPUT) Miri berjaya memukau orang ramai dan juga para hakim dengan persembahan tarian di atas perahu yang diiringi muzik tradisional sape dan jatung utang lantas membawa tuah sebagai johan pertandingan perahu berhias Regatta Baram tahun ini.

Persembahan yang mereka tonjolkan ialah mengenai masyarakat Kenyah yang seiring sejalan serta setia dengan dasar kerajaan dalam menyatukan antara suku kaum di Sarawak khasnya di kawasan Telang Usan, Baram.

KELEPUT bermaksud ‘sumpit’ dalam suku kaum Kenyah merupakan senjata yang digunakan khusus untuk memburu atau melawan musuh secara senyap.

Pasukan KELEPUT yang terdiri daripada 19 orang peserta adalah dibawah bimbingan Priscilla Aping Engan juga selaku Pengurus Pasukan.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta diiringi oleh Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr. Jerip Susil dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Dr. Penguang Manggil selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Baram Regatta 2017.

Sebanyak 11 buah perahu berhias yang mengambil bahagian mewakili pelbagai suku kaum di Baram.

Selaku juara KELEPUT membawa pulang piala dan wang tunai sebanyak RM 1,000.

Naib juara dimenangi oleh pasukan Bujang Gawai Sandau Ari dari Persatuan Masyarakat Daerah Beluru Bakong yang diketuai oleh Penghulu Kalang, telah menerima wang tunai sebanyak RM 800 beserta piala.

Persatuan Kayan Sarawak yang terdiri daripada 15 orang peserta diketuai oleh Kaunselor Jok Ngau berjaya mendapat tempat ketiga sekaligus membawa pulang piala dan wang tunai sebanyak RM 500. – dayakdaily.com