Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Dudong melecur disimbah asid

Kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu berlaku ketika mangsa, Wong Ching Yong, 58, dikatakan sedang berjalan kaki menuju ke arah keretanya yang diletak berhampiran Lorong Tuanku Osman 4. - dayakdaily.com

SIBU – Seorang ahli politik melecur pada bahagian muka dan anggota badannya selepas disimbah cecair dipercayai asid oleh individu yang tidak dikenali dalam satu kejadian di Jalan Tuanku Osman di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu berlaku ketika mangsa, Wong Ching Yong, 58, dikatakan sedang berjalan kaki menuju ke arah keretanya yang diletakkan kira-kira 30 meter dari pejabatnya.

Sumber berkata, mangsa yang juga merupakan Timbalan Pengerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong difahamkan melecur kira-kira 18 peratus pada muka, dada dan tangan kirinya akibat terkena simbahan asid itu.

Jelas sumber, sebelum kejadian, mangsa yang berjalan seorang diri tiba-tiba dihampiri oleh dua lelaki yang tidak dikenali dengan menaiki sebuah motosikal.

“Kedua-dua individu tersebut sempat memanggil nama mangsa ‘Mr Wong’ sebelum salah seorang daripada suspek tiba-tiba menyimbah asid ke arah muka dan badan mangsa sebelum mereka melarikan diri,” katanya.

Sumber memberitahu, mangsa yang melecur pada muka dan badannya kemudian berlari ke arah kedai buku berhampiran untuk mendapatkan pertolongan sebelum dikejarkan ke sebuah hospital swasta di situ.

Katanya, mangsa yang bakal bertanding pada pilihan raya umum akan datang sudah diterbangkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian dan usaha memburu suspek giat dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut. – dayakdaily.com