Tiga Suspek Curi Motosikal Ditahan

KUCHING : Tiga lelaki yang dipercayai aktif melakukan jenayah mencuri motosikal di sekitar bandar raya ini ditahan sepasukan anggota polis di dua lokasi berasingan di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, dua suspek pertama berjaya diberkas di Jalan Stutong, manakala seorang lagi ditangkap di sebuah rumah di Jalan Chawan di sini.

Menurutnya, tangkapan sekitar pukul 12 tengah hari hingga 1 petang tersebut dilakukan menerusi Op Bersepadu Lejang IPD Kuching.

“Semasa tangkapan itu, polis turut berjaya menemui semula sebuah motosikal curi yang dipercayai dicuri oleh suspek.

“Hasil ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek turut mendapati mereka positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Ahmad memberitahu, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek terbabit memiliki rekod jenayah lampau.

“Buat masa ini, ketiga-tiga suspek masih direman sebelum didakwa ke mahkamah,” katanya. – dayakdaily.com

Motosikal curi yang di temui dalam operasi tersebut – dayakdaily.com
Ketiga-tiga suspek yang di tahan di reman untuk membantu siasatan -dayakdaily.com