Tiga PATI ditahan dalam operasi Serkap tentera

BALAI RINGIN: Tiga Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan Skuadron, Rejimen ke-4 Kor Armor DiRaja yang melaksanakan operasi Serkap di garis sempadan Kampung Tong Nibong, di sini semalam.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, ketiga-tiga mereka ditangkap pada jam 1.30 petang di kawasan kelapa sawit ketika menunggang motosikal dari Kampung Tong Nibong menuju ke sempadan Indonesia.

“Semasa pemeriksaan dijalankan mendapati ketiga-tiga PATI tersebut tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, dalam tangkapan tersebut juga turut dirampas sebanyak dua buah motosikal yang digunakan serta minyak masak 24 kilogram, 180 biji telur ayam, sembilan ekor ayam hidup dan 36 botol air berkarbonat.

“Pihak tentera telah membawa tahanan serta barang rampasan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk dibuat laporan pada jam 2.30 petang,” katanya.-dayakdaily.com