Tiga kes penyakit anjing gila disahkan di Sarawak

KUCHING – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat tiga kes kanak-kanak di Sarawak dijangkiti virus rabies atau penyakit anjing gila setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebelum itu, Bahagian Kawalan Penyakit dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah menerima laporan berkaitan tiga kes viral encephalitis yang dimasukkan ke wad di Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas disyaki dijangkiti virus rabies pada Khamis lalu.

Menurutnya, keputusan makmal yang dijalankan semalam (30 Jun) bagi ketiga-tiga kes tersebut adalah positif virus rabies.

“Kes pertama melibatkan kanak-kanak lelaki, berusia empat tahun dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian.

“Kanak-kanak tersebut mula mengalami demam sejak 5 Jun lalu dan telah mendapat rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Balai Ringin, Serian pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Bgaimanapun katanya, keadaan kanak-kanak itu semakin tenat dan mengalami kesukaran bernafas dengan perubahan tingkah laku, bersifat agresif dan hidrofobia iaitu takut kepada air atau takut minum air.

Susulan itu ujarnya, pada 8 Jun lalu, kanak-kanak tersebut telah dimasukkan ke wad di Hospital Serian dan selanjutnya pada 9 Jun dirujuk ke HUS bagi rawatan lanjut.

“Keadaan kanak-kanak itu semakin tenat dan kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi, HUS.

“Kanak-kanak tersebut dikatakan mempunyai sejarah gigitan anjing kira-kira 2 hingga 3 bulan sebelum onset gejala,” ujarnya.

Dr. Noor Hisham menambah, kes kedua pula melibatkan seorang kanak-kanak perempuan, berusia enam tahun dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian.

Katanya, kanak-kanak berkenaan merupakan kakak kandung kepada kes pertama dan dia mulai mengalami demam pada 12 Jun lalu.

“Pada 14 Jun, kanak-kanak itu telah dibawa ke klinik Kesihatan Balai Ringin kerana demam melarat, perubahan tingkah laku serta agresif.

“Dia telah dibawa ke Hospital Serian pada 15 Jun sebelum dirujuk ke HUS sehari selepas itu untuk rawatan lanjut.

“Keadaan dia dilaporkan tenat dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, HUS. Pihak JKN Sarawak juga sedang berusaha untuk mendapatkan sejarah gigitan anjing pada kanak-kanak itu,” jelasnya lagi.

Merujuk kes ketiga, Dr. Noor Hisham memberitahu, ia melibatkan kanak-kanak perempuan, berusia tujuh tahun dari Kampung Lebur, Gedong.

Jelas beliau, kanak-kanak itu mula mengalami demam pada 23 Jun lalu dan keesokan harinya telah mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Serian.

“Keadaan kanak-kanak itu semakin merosot dengan perubahan tingkahvlaku dan bersikap agresif serta hidrofobia.

“Pada 28 Jun lalu, kanak-kanak tersebut telah mengalami sawan (fit) dan terus dibawa ke HUS,” katanya.

Sambil menambah, buat masa ini, keadaan kanak-kanak itu dilaporkan tenat dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, HUS.

“Kanak-kanak itu juga dilaporkan mempunyai sejarah gigitan anjing kira-kira sebulan sebelum onset gejala,” katanya.

Sehubungan itu, Dr. Noor Hisham ingin menasihati orang awam yang tinggal di Serian agar mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan dari dijangkiti penyakit rabies.

“Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika telah mengalami gigitan anjing peliharaan yang agresif atau anjing liar.

“Pastikan anjing peliharaan telah mendapatkan suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan kontak bersama anjing liar,” katanya. -dayakdaily.com

INFO PENYAKIT RABIES

Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia

##luka gigitan, luka terbuka pada kulit dari air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan tersebut kepada manusia.

##Masa inkubasi rabies adalah tiga minggu hingga dua bulan dari gigitan haiwan rabid hingga timbul gejala.

##Individu yang dijangkiti rabies akan mengalami tanda klinikal seperti demam, sakit badan dan kepala, hidrofobia, lumpuh dan koma.

##Rabies adalah satu penyakit yang menyebabkan kematian 100 peratus jika tanda-tanda penyakit telah timbul.