Tiga kawasan baharu diisytiharkan wabak rabies di Sarawak

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tengah) melakukan perbincangan bersama agensi terlibat mengenai wabak rabies di Wisma Bapa Malaysia, hari ini. - dayakdaily.com

KUCHING – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengisytiharkan tiga lagi penempatan baharu sebagai kawasan wabak rabies atau jangkitan penyakit anjing gila di Sarawak hari ini.

Tiga penempatan tersebut ialah Pekan Siburan, Serian, Kampung Temong Mura, Tebedu dan Rumah Janta Punggu Mawang, Sri Aman.

Sebelum ini enam kampung telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies iaitu Kampung Kerait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paun Rimu Bakung, Kampung Remun, Kampung Lebor dan Kampung Saroban.

Menurut Sekretariat JPBNS, pengisytiharan wabak rabies itu digazetkan di bawah Seksyen 37 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Kenyataan sama menambah, setakat ini sebanyak 146 kes gigitan anjing di kawasan terlibat telah direkodkan sejak operasi bersepadu dilakukan pada 2 Julai lalu.

“Laporan keputusan makmal yang baru diterima daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) juga mendapati masih terdapat sampel positif anjing dan kucing dalam lingkungan 10 kilometer (km) di kawasan wabak rabies.

“Kawasan yang turut disyaki terkesan dengan wabak rabies ialah Kampung Ampungan, Kampung Mentong Berawan, Kampung Mentong Silaga, Kampung Engkabang, Kampung Tampek Sumpas, Kampung Rasau, Bandar Serian dan Batu 45 Jalan Kuching-Sri Aman,” kata JPBNS dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

JPBNS menambah, sehingga kini, JPVS telah memberikan suntikan vaksin ke atas 2,656 ekor anjing, 6,491 ekor kucing dan 38 ekor lain-lain seperti kera dan tupai di semua kawasan wabak rabies.

“Namun, ketika ini suntikan vaksin anti-rabies hanya diberikan kepada kes gigitan anjing dan kucing yang berlaku di kawasan wabak yang memenuhi kriteria klinikal,” kata kenyataan itu.

Dayakdaily.com sebelum ini melaporkan terdapat enam penempatan atau perkampungan di Serian diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies.

Antara kampung terbabit ialah, Kampung Kerait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paun Rimu Bakung, Kampung Remun, Kampung Lebor dan Kampung Saroban. – dayakdaily.com