Tiada isu perlu boikot Hari Kebangsaan 2017

Dr Rundi (dua kiri) berkata dakwaan boikot itu mungkin diluahkan oleh seseorang secara peribadi untuk kepentingan diri mereka sahaja. - dayakdaily.com

KUCHING – Tiada sebarang isu untuk memboikot sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Demikian tegas Menteri Utiliti Sarawak merangkap Menteri yang bertanggungjawab dengan sambutan Hari Kebangsaan 2017 peringkat negeri, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom di Kuching hari ini.

Tegas Dr Rundi, setakat ini beliau tidak menerima sebarang laporan atau maklumat berhubung dengan dakwaan sesetengah pihak yang berniat untuk memboikot sambutan Hari Kebangsaan 2017.

“Dakwaan boikot itu mungkin diluahkan oleh seseorang secara peribadi untuk kepentingan diri mereka sahaja.

“Jadi, perkara tersebut tidak boleh dinyatakan secara keseluruhan yang mewakili suara seluruh rakyat Sarawak.

“Sehubungan itu, saya tidak percaya bahawa dakwaan sesetengah untuk memboikot sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” tegasnya pada sidang akhbar sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2017 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Rundi memberitahu, penduduk di negeri ini harus berasa gembira dan berbangga menjadi rakyat Malaysia.

Jelasnya, rakyat tanpa mengira kaum, agama dan usia perlu terus menghayati serta menerap semangat kebangsaan dalam jiwa masing-masing.

“Rakyat masa kini perlu mengimbau kembali jasa serta pergorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu yang berjuang menuntut kemerdekaan daripada cengkaman penjajah dahulu.

“Mereka juga harus imbas semula komitmen, kesungguhan dan kerja keras pemimpin terdahulu yang telah meletakkan Sarawak kekal aman dan harmoni sehingga sekarang,” katanya.

Berhubung sambutan Hari Kebangsaan 2017 peringkat negeri Sarawak, Dr Rundi berkata,bandar Bintulu telah dipilih menjadi hos penganjuran pada 31 Ogos ini.

Dr Rundi menambah, kira-kira 10,000 orang pengunjung dari seluruh negeri dijangka hadir memeriahkan program sambutan di Bintulu kelak.

“TYT Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib dan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg serta isteri Datin Amar Jumaa’ni Tuanku Bujang juga dijangka hadir sama,” ujar beliau lagi. – dayakdaily.com