‘The Flying Dayak’, Watson Nyambek kembali gegar MIOMAC 2017

Selepas 21 tahun bersara daripada dunia sukan olahraga, "The Flying Dayak", Watson Nyambek bakal muncul semula dengan mengambil bahagian dalam MIOMAC kali ini. - dayakdaily.com

KUCHING – Bekas jaguh pecut negara, Watson Nyambek bakal kembali menggegarkan arena sukan olahraga apabila mengesahkan penyertaannya dalam Kejohanan Olahraga Masters Terbuka Malaysia (MIOMAC) 2017.

Kejohanan yang memasuki edisi ke-31 itu akan berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya di sini bermula 22 hingga 23 Julai depan.

Watson yang terkenal dengan jolokan ‘The Flying Dayak’ bakal mengambil bahagian dalam acara pilihannya iaitu 100 meter dan 4×100 meter bagi kategori 40 hingga 45 tahun.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini merupakan kali pertama Bumi Kenyalang dipilih sebagai tuan rumah MIOMAC dan seramai 80 atlet lelaki dan 20 atlet wanita dari negeri ini mengambil bahagian.

Menurut beliau, kejohanan anjuran pihaknya bersama Perbadanan Sukan Sarawak ( SSC) itu juga dijangka disertai seramai 899 atlet dari Semenanjung Malaysia, Sabah termasuk dari negara- negara seperti Sri Lanka, Thailand, Indonesia dan Singapura.

“Selepas 21 tahun bersara daripada dunia sukan olahraga, Watson bakal muncul semula dengan mengambil bahagian dalam MIOMAC kali ini.

“Selain bekas pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter itu, bekas jaguh acara merejam lembing Sukan Asian, Nashatar Singh Sindhu juga akan menyertai kejohanan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, bekas pelari jarak jauh negara, M Ramakishnan dan bekas atlet melempar cakera, Danapal Naidu juga bakal beraksi dalam kejohanan sama.

Selain itu ujarnya, bekas atlet Sarawak, Goh Fung Seng juga mengesahkan penyertaannya dalam acara 100 dan 200 meter, termasuk lompat jauh bagi kategori 65 hingga 70 tahun.

Acara-acara yang dipertandingkan dalam MIOMAC 2017 ialah seperti 100 meter, 200 meter, 400 meter, 800 meter, 1,500 meter, 5,000 meter, 4×100 meter, 4×400 meter, melempar cakera, merejam lembing, 5km jalan kaki lelaki (40- 44 tahun), lompat bergalah, 110 meter berhalangan, 400 meter berhalangan, 5km jalan kaki (lebuh raya) lelaki (40- 44 dan 45-49 tahun) dan baling tukul besi.-dayakdaily.com