Tentera patah cubaan seludup 672 ekor burung murai guna laluan tikus

PATI warganegara Indonesia ditahan kerana cubaan menyeludup sebanyak 672 ekor burung murai.

TEBEDU: Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja berjaya mematahkan cubaan menyeludup sebanyak 672 ekor burung murai oleh Pendatang Asing Tanpa Izin(PATI) warganegara Indonesia.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, dalam kejadian pada jam 4.40 pagi tadi, seramai empat orang PATI yang berumur antara 29 hingga 32 tahun itu telah membawa 56 bakul berisi burung murai melalui lorong tikus di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan ( ICQS) Tebedu.

“Suspek dipercayai menggunakan laluan lorong tikus pada waktu pagi bagi mengelak dari dikesan oleh pihak berkuasa.

“Hasil maklumat awal mendapati PATI tersebut dibayar RM 50 setiap seorang untuk membawa burung tersebut keluar dari sempadan Malaysia,” katanya di sini, hari ini.

Katanya,pada hari yang sama jam 2 pagi pihak tentera turut menahan dua orang warga Indonesia yang cuba memasuki sempadan Malaysia dalam cubaan menyeludup racun.


“Pihak Tentera telah membuat laporan di Balai Polis Tebedu dan seterusnya menyerahkan kesemua PATI tersebut di Depot Tahanan Sementara Imigresen Simunjan, Serian,” katanya.