Tempahan mendadak untuk kek lapis menjelang Gawai Dayak

Kek lapis Sarawak Mariam Cake dijual antara RM 10 hingga RM150 bergantung kepada saiz dan corak, mereka meraih hasil jualan antara RM300 hingga RM500 sehari bagi penjualan kek lapis berkenaan. - dayakdaily.com

KUCHING: Kek lapis Sarawak menjadi hidangan wajib setiap kali menyambut perayaan bagi masyarakat pelbagai kaum dan etnik di negeri ini.

Ini diakui sendiri,Mohd Fadhil Aren,36, berasal dari Kampung Tengah Gedong, yang menyatakan kek lapis mereka menerima tempahan mendadak menjelang perayaan gawai Dayak 1 Jun ini dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Pada musim perayaan kami tidak menang tangan menerima tempahan daripada pelanggan sehingga 1,000 tempahan,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya lagi, dalam masa sebulan mereka boleh menyiapkan antara 200 hingga 500 tempahan kek lapis Sarawak oleh pelanggan.

Katanya, kek lapis Sarawak Mariam Cake dijual antara RM 10 hingga RM150 bergantung kepada saiz dan corak, mereka meraih hasil jualan antara RM300 hingga RM500 sehari bagi penjualan kek lapis berkenaan.

“Kek lapis Sarawak boleh bertahan sehingga dua minggu atau sebulan jika disimpan di dalam peti sejuk.

“Saya yakin kek lapis Sarawak akan terus mendapat permintaan daripada pelanggan memandangkan ia menjadi kegemaran semua kaum dan etnik ,” katanya.

Katanya, bermula dengan hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di kediaman sendiri di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR), di sini 23 tahun yang lalu tiada siapa menyangka Mariam Cakes, salah seorang pengusaha kek lapis di Sarawak boleh melangkah jauh dalam bidang ini.

“Hari ini Mariam Cakes boleh berbangga dengan perkembangan perniagaan kek lapis Sarawak apabila membuka sebuah kedai perniagaan menjual kek lapis di Jalan Kulas dan Kota Samarahan , selain sebuah premis yang terdapat di Medan Niaga Kubah Ria,” katanya.

Katanya,Mariam Cakes menjual pelbagai jenis motif kek lapis Sarawak lebih kepada perniagaan berorientasikan keluarga dengan slogan ‘kacak didiat, nyaman dimakan’.

“Kami lapan adik-beradik berusia antara 36 hingga 61 tahun bersama-sama menentukan jatuh bangun perniagaan kek lapis ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, perusahaan itu dipelopori oleh kakak sulungnya Mariam dengan sokongan daripada adik-beradik yang lain.

“Kami perlahan-lahan menjenamakan produk kek lapis Mariam Cakes kepada pelanggan.Dengan adanya kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) semua maklumat hanya di hujung jari, proses menjenamakan produk menjadi semakin mudah,” katanya.

Katanya, selain memberi fokus menjual produk kek lapis dikedai mereka kini beralih-arah mempromosikan produk berkenaan di laman web, facebook, whatsup serta instagram.

“Selain dipasarkan di seluruh Sarawak kek lapis mereka sudah berjaya menembusi Semenanjung Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura.

“Kebanyakan tempahan pada masa sekarang dilakukan dalam talian oleh individu atau syarikat,kita melihat persaingan dalam bidang ini sesuatu yang sihat kerana masing-masing mempunyai cara untuk mempromosikan produk ” ujarnya.

Katanya, bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi kepada pelanggan mereka adik-beradik masih membuat kek lapis di rumah masing-masing.

“Pembuatan kek lapis tidak mudah berdasarkan corak atau motif yang hendak dihasilkan.

Kami lebih fokus kepada kek lapis Sarawak yang bercorak atau bermotif ketupat sate, bunga tulip dan pua kumbu,” katanya. – dayakdaily.com