Tembelang guru ‘gian’ liwat pelajar 50 kali akhirnya terbongkar

MUKAH – Perbuatan terkutuk seorang guru lelaki yang dipercayai meliwat seorang pelajar sejak Ogos 2015 hingga Mei lalu akhirnya terbongkar selepas remaja lelaki terbabit tampil membuat laporan polis kelmarin.

Pelajar yang kini berusia 14 tahun itu dipercayai telah dijadikan hamba melepaskan nafsu songsang guru berusia 42 tahun ketika dia masih belajar di sekolah rendah lagi.

Menurut sumber, guru yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Kapit disyaki memperlakukan mangsa sedemikian tidak kurang daripada 50 kali di beberapa lokasi berasingan.

Kata sumber, disebabkan takut kepada suspek, remaja lelaki terbabit tidak berani mengadu perkara tersebut kepada orang lain sehingga dia sering dibelenggu kemurungan.

“Bagaimanapun, akhirnya dia nekad membongkar tembelang suspek yang kali terakhir meliwatnya pada Mei lalu di sebuah hotel bajet di sini kepada guru di sekolah menengah tempat dia belajar sekarang.

“Mangsa yang diiringi guru terbabit kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Jimmy Panyau ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes tersebut.

Katanya, suspek sudah ditahan di Kapit dan akan dibawa ke IPD Mukah untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 377 C kerana melakukan seks luar tabii.

“Jika didapati bersalah, suspek boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” ujarnya. -dayakdaily.com