Tawar hadiah keseluruhan RM 15,000, lapan pasukan buru kejuaraan Liga Sri Aman-LSC 2017

Pemain-pemain pasukan SUPP Simanggang yang bakal memberi cabaran dalam saingan Liga Sri Aman-LSC 2017/Piala Datuk Francis Harden - dayakdaily.com

SRI AMAN: Sebanyak lapan pasukan akan berentap pada saingan Liga Sri Aman-LSC 2017/Piala Datuk Francis Harden yang akan diadakan di padang Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU), di sini, bermula Sabtu ini (esok).

Pasukan tersebut ialah Pemuda PRS selaku juara bertahan, SUPP, Saberkas DUN Lingga, Paramatta, Bumi Bakong FC, Projek 16 Sri Aman, Englant (Engkilili-Lubok Antu) dan GMA.

Pertandingan itu diadakan bagi memilih pemain bagi mewakili skuad Merpati Putih ke pertandingan Piala Sarawak, yang dijadualkan berlangsung di Mukah pada bulan Oktober nanti.

Pertandingan yang dijangka berakhir pada 27 Ogos depan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM15,000, piala, medal dan jersey bola.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut turun padang melihat persiapan akhir skuad bola sepak Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) iaitu Simanggang FC semalam serta berkenalan dengan pemain yang mewakil pasukan itu pada kejohanan kali ini.

Harden berharap kejohanan ini dapat menjadi pentas untuk mencungkil bakat-bakat baru di bahagian itu dalam sukan bola sepak.

“Bermainlah dengan penuh semangat kesukanan yang tinggi, tunjukkan bakat dan kebolehan bagi terus meningkatkan mutu sukan bola sepak di negeri ini,” katanya.

Katanya, melalui penglibatan dalam aktiviti sukan juga dapat melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas.

“Sukan khasnya bola sepak boleh menjadi pentas terbaik untuk menyatukan masyarakat khasnya golongan belia,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan SUPP Simanggang, Jilin Itar berkata, bola sepak adalah permainan pasukan.

“Tidak kira apa posisi seseorang semangat bermain dalam satu pasukan akan menjadi nadi kekuatan yang menentukan kejayaan pasukan,” katanya. – dayakdaily.com