Tangan tersepit dalam mesin pengadun tepung

Massuri cedera di bahagian tangan kanan setelah tersepit dalam mesin pengadun tepung - JBPNS

KOTA SAMARAHAN: Seorang wanita terpaksa menahan kesakitan selama sejam apabila tangannya termasuk ke dalam mesin pengadun tepung.

Kejadian yang berlaku pada jam 1.47 tengahari semalam, di gerai Majlis Daerah Samarahan (MDS) di pangkalan feri di sini hari ini menyebabkan Massuri Darahman,39, cedera di bahagian tangan kanan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dengan kekuatan sembilan anggota menggunakan sebuah FRT dan EMRS begegas ke tempat kejadian yang jaraknya dua minit dari balai.

“Tangan mangsa telah tersepit masuk ke dalam mesin pengadun tepung. Mangsa masih dalam keadaan sedar dengan tangan tidak dapat dikeluarkan dalam mesin ketika kerja-kerja mengadun tepung,” katanya.

Katanya, pihak Bomba bertindak menggunakan peralatan ‘rescue tool’ untuk mengeluarkan tangan mangsa dengan merenggangkan mesin tersebut.

“Kita telah berjaya mengeluarkan tangan daripada mesin dan Unit EMRS memberi rawatan awal kepada mangsa bersama pihak Klinik Kesihatan,

“Operasi telah berjaya ditamatkan pada jam 2.48 tengahari ” katanya.

Katanya, mangsa telah dibawa pihak ambulans ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut. – dayakdaily.com