Tanam ganja, Polis menahan empat remaja

Tanam pokok ganja, polis tahan empat individu

BINTULU – Tiga beradik merupakan antara empat individu yang ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penanaman pokok ganja di sini hari ini.

Keempat-empat suspek yang berusia antara 15 hingga 21 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di Kuarters Gunasama Persekutuan Bintulu pada pukul 5.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zailani Amit berkata, serbuan itu dilakukan susulan risikan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.

Menurutnya, dalam serbuan sama, polis turut menangkap seorang wanita yang dipercayai isteri kepada salah seorang suspek lelaki.

“Semasa serbuan itu, kesemua suspek masih tidur dan mereka tergamam apabila anggota polis menyerbu kediaman tersebut.

“Pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemui dua pokok disyaki ganja ditanam di dalam bekas plastik,” katanya.

Mengulas lanjut, Zailani memberitahu, polis turut menemui dedaun kering yang disyaki dadah jenis ganja seberat 7.95 gram yang disimpan di dalam bekas bulat.

Tidak cukup dengan itu ujarnya, beberapa peralatan seperti alat pengisar dan meja kayu yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah tersebut juga dirampas.

“Ujian air kencing yang dilakukan ke atas kesemua suspek selepas itu bagaimanapun mendapati mereka negatif dadah.

“Buat masa ini, polis masih menyiasat dari mana suspek memperoleh benih ganja itu dan apakah tujuan suspek menanam pokok ganja sama ada untuk menjualnya di pasaran atau kegunaan sendiri,” ujarnya lagi.

Sambil menambah, beliau berkata, kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM1,800.

Jelasnya, kesemua suspek ditahan reman selama 14 bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- dayakdaily.com