Tan Sri Datuk Amar Dr Hamid Bugo diumum Pengerusi PETROS

KUCHING – Pejabat Ketua Menteri Sarawak hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Datuk Amar Dr Hamid Bugo sebagai Pengerusi Petroleum Sarawak (PETROS) iaitu sebuah syarikat cari gali minyak dan gas milik penuh kerajaan negeri ini.

Hamid Bugo yang juga merupakan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak pernah berkhidmat dengan Malaysia LNG Sdn. Bhd di Bintulu.

Ahli Lembaga Pengarah yang dilantik pula ialah Datuk Mohammad Medan Abdullah, Sharbini Suhaili, lr. Zuraimi Sabki dan Heng Hock Cheng.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dalam satu kenyataan memberitahu, beliau sangat yakin dengan barisan kepimpinan tertinggi dalam PETROS kerana kesemua mereka memiliki pengalaman serta kepakaran profesional khususnya dalam industri minyak dan gas.

Menurut beliau, pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah PETROS itu juga dilihat mampu menggerakkan syarikat milik penuh kerajaan negeri berada di landasan tepat dan strategik sekali gus membina model perniagaan ke arah memastikan objektif penubuhannya tercapai.


“Matlamat atau objektif penubuhan PETROS adalah untuk membolehkan Sarawak mengambil bahagian serta meneroka pembangunan industri minyak dan gas di perairan negeri ini.

“Penubuhan PETROS ini juga adalah selari dengan usaha kerajaan negeri dalam membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak Sarawak terutamanya ke arah mencapai status negeri berpendapatan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Sementara itu, Abang Johari berkata, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi PETROS kini masih kosong dan beberapa jawatan penting juga bakal diisikan bagi membolehkan operasi dapat dimulakan menjelang suku pertama 2018. -dayakdaily.com