Tak sempat jual hasil barangan curi, tiga sahabat dicekup polis

Merbin menunjukkan lori tiga tan yang diguna suspek untuk membawa barangan curi -PDRM

SIBURAN: Hasrat tiga penjenayah untuk menjual hasil barangan curi selepas berjaya memecah masuk sebuah kediaman di Taman Duranda Emas, di sini tidak kesampaian apabila mereka dicekup pihak polis.

Dalam kejadian yang berlaku Jumaat lalu itu seorang wanita kerugian dianggarkan RM 10,000 setelah TV42 inci, speaker,tong gas, satu unit mesin pemotong kayu dan besi,satu unit generator dan satu set penyambung wayar dilarikan pencuri yang mengumpil pintu rumahnya ketika dia keluar bekerja pada jam 8 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan (DSP) Merbin Lisa berkata, bertindak atas laporan itu pihaknya telah berjaya menangkap tiga lelaki Cina berusia 33 hingga 37 tahun Ahad lalu.

“Pada mulanya kita telah berjaya menangkap seorang suspek berusia 34 tahun di perkarangan balai polis Kota Sentosa.

“Tangkapan ini telah membawa tangkapan dua lagi suspek berusia 33 dan 37 tahun yang turut mengaku terlibat sama dalam kes pecah rumah ini,” katanya ketika mengadakan sidang khbar di IPD Padawan, di sini, semalam.

Katanya,pihaknya percaya barangan curi itu akan dijual semula untuk mendapatkan wang.

“Kita telah berjaya merampas semula barangan curi serta lori tiga tan yang digunakan untuk membawa barangan curi dalam kes ini,” katanya.

Katanya, berdasarkan rekod pihak polis dua suspek juga mempunyai rekod kes curi kereta dan dadah.

“Kita juga akan menjalankan siasatan sama ada suspek mempunyai kaitan sindiket pecah rumah dan curi kereta di kawasan ini selama ini,” katannya.

Katanya, ketiga-tiga suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut mulai 27 Ogos hingga 1 September ini.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, IPD Padawan merekodkan sebanyak 67 kes pecah rumah sepanjang tempoh bulan Januari hingga Ogos tahun ini.

“Daripada jumlah itu sebanyak 22 kes telah berjaya diselesaikan, kebanyakan kes pecah rumah berlaku di kawasan Batu Kawa dan Matang,” katanya. – dayakdaily.com