SWAT SFC tangkap seekor buaya sepanjang 2.5 meter

Anggota SWAT SFC mengukur panjang seekor buaya yang ditangkap di Baraj Sungai Sarawak.-SFC

KUCHING – Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) dari Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya menangkap seekor buaya di Baraj Sungai Sarawak.

Reptilia sepanjang 2.5 meter dan seberat kira-kira 70 kilogram (kg) itu ditangkap pada pukul 6 pagi.

Jurucakap SFC memberitahu, buaya jantan itu ditangkap menerusi operasi penakaian dan pemindahan buaya yang dilancarkan bermula 13 Julai lalu.

“Reptilia itu berjaya ditangkap selepas memakan umpan kail yang dipasang kira-kira tiga kilometer (km) di sekitar sungai tersebut.

“Sang bedal berkenaan kemudian ditarik oleh pasukan SWAT SFC ke darat untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Sungai Sarawak turut disenaraikan sebagai zon nyah buaya utama di negeri ini.

Katanya, tujuh set kail dengan umpan yang berbeza digunakan dalam operasi penakaian kali ini.

“Reptilia itu kemudian dibawa ke Pusat Hidupan Liar Matang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, usaha pemindahan buaya akan diteruskan dan operasi SWAT akan dipertingkatkan terutamanya di zon nyah buaya yang terlibat.

SFC akan terus memantau sungai-sungai ‘berisiko tinggi’ dan mempertingkatkan operasi penakaian di tempat yang dikenalpasti.

SFCerjaya menurunkan buaya katak daripada Lampiran I kepada Lampiran II Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Flora dan Fauna Liar yang Terancam.

Penurunan itu membolehkan buaya liar ditangkap secara lestari untuk tujuan pemerdagangan antarabangsa.

Bagaimanapun, buaya masih merupakan spesies terlindung di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998. – dayakdaily.com