SWAT berjaya tangkap buaya sepanjang 2.95 meter di Sungai Pelasan, Betong

Anggota SWAT, SFC melakukan kerja-kerja pengukuran panjang seekor buaya yang ditangkap di Sungai Pelasan, Betong.-SFC

BETONG – Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) dari Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya menangkap seekor buaya di Sungai Pelasan di sini, semalam.

Reptilia sepanjang 2.95 meter itu ditangkap selepas memakan umpan daging yang dipasang pada mata kail pancing oleh anggota SWAT di sekitar sungai tersebut kira-kira pukul 2 petang.

Jurucakap SFC dalam satu kenyataan berkata, operasi penakaian buaya itu dilakukan susulan kes serangan terhadap seorang lelaki warga Indonesia yang maut dibaham haiwan ganas tersebut pada 13 Julai lalu.

Katanya, gerakan memburu sang bedal dengan melakukan pemasangan 16 mata kail pancing dengan umpan daging di sungai tersebut dilakukan mulai 20 Julai lalu.

“Petang semalam, ketika anggota pasukan SWAT sedang melakukan pemeriksaan mata kail pancing yang dipasang pada sebelah paginya, mereka mendapati satu daripada 16 umpan hilang dipercayai selepas dimakan buaya itu.

“Mereka kemudian meneruskan operasi sebelum menemui seekor buaya kira-kira 400 meter dari lokasi umpan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, jurucakap sama memberitahu, semasa ditarik ke darat sang bedal itu mengalami kecederaan pada bahagian rahangnya selepas haiwan itu cuba melepaskan diri daripada mata kail pancing.

“Sebelum ini, seorang lelaki yang sedang memancing dilaporkan hilang selepas dibaham buaya dan mayatnya hanya ditemui terapung lima hari kemudian,” katanya.

Dalam pada itu, usaha pemindahan buaya akan diteruskan dan operasi SWAT akan dipertingkatkan terutamanya di zon nyah buaya yang terlibat.

SFC akan terus memantau sungai-sungai ‘berisiko tinggi’ dan mempertingkatkan operasi penakaian di tempat yang dikenalpasti.

Bagaimanapun, buaya masih merupakan spesies terlindung di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998. – dayakdaily.com