Suntikan vaksin anti-rabies dilakukan ke atas 500 anjing dan kucing

Dianggarkan sekurang-kurangnya 500 ekor anjing dan kucing di lima buah kampung yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies atau penyakit anjing gila akan disuntik dengan vaksin anti-rabies - dayakdaily.com

KUCHING – Dianggarkan sekurang-kurangnya 500 ekor anjing dan kucing di lima buah kampung yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies atau penyakit anjing gila akan disuntik dengan vaksin anti-rabies.

Lima kampung tersebut ialah Kampung Kerait, Kampung Paon Sungai Rimu, Kampung Paun Rimu Bakung, Kampung Remun dan Kampung Lebor.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerja-kerja penyuntikan vaksin tersebut sedang dilakukan oleh anggota dari Jabatan Veterinar Sarawak.

Menurutnya, langkah suntikan vaksin anti-rabies itu perlu dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak penyakit anjing gila ke kawasan penempatan lain.

“Kita menganggarkan sekurang-kurangnya terdapat kira-kira 500 ekor anjing dan kucing peliharaan di lima kampung tersebut.

“Pada masa sama, kita yakin suntikan vaksin anti-rabies ke atas semua haiwan peliharaan di situ apat dilaksanakan dalam tempoh tujuh hari,” katanya di sini hari ini.

Douglas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memberitahu, beliau yakin dengan tindakan yang diambil masa kini dalam usaha mengawal penularan wabak tersebut.

“Kita optimis tindakan memberikan suntikan ke atas anjing dan kucing di situ berjaya seperti pernah dilakukan di Perlis, Pulau Pinang dan yang turut diserang virus sama beberapa tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, mayat kedua-dua beradik malang yang meninggal dunia semalam akibat penyakit anjing selamat dikebumikan pukul 10 pagi tadi.

Seorang lagi pesakit iaitu kanak-kanak berusia tujuh tahun pula masih lagi kritikal dan dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Umum Sarawak (HUS)

Dayakdaily.com semalam melaporkan dua beradik malang yang disyaki positif virus rabies atau penyakit anjing gila sejak minggu lalu disahkan meninggal dunia di HUS.

Mangsa pertama, Monica Mazlan, 6, disahkan meninggal dunia pada pukul 1.43 petang, manakala adiknya Jackson Mazlan, 4, kira-kira tiga minit kemudian.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr. Sim Kui Han berkata, adik beradik berasal dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian itu merupakan antara tiga kanak-kanak yang disyaki dijangkiti virus rabies. -dayakdaily.com