Sungai nadi penduduk Kampung Beliong

Sungai nadi penduduk Kampung Beliong - dayakdaily.com

KUCHING: Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar, serba-serbi dilimpahi dengan kemudahan cukup lengkap untuk bergerak mungkin tidak pernah merasai kepayahan dialami penduduk di Kampung Beliong, Asajaya.

Hakikatnya, penduduk di Kampung Beliong antara kampung di kawasan luar bandar di negeri ini yang masih bergantung kepada sungai sebagai perhubungan utama.

Untuk ke kawasan lain di daerah Asajaya, Samarahan mahupun ke bandaraya Kuching penduduk terpaksa meredah arus deras menggunakan perkhidmatan perahu tambang yang disediakan oleh penduduk menyeberang sungai sepanjang kira-kira dua kilometer itu.

Kanselor Bustari Ibrahim,66, berkata, sungai menjadi nadi utama kepada penduduk di Kampung Beliong kerana tidak ada alternatif lain untuk mereka bergerak.

Penduduk asal Kampung Beliong itu berkata, sungai bagaikan sudah cukup serasi dengan penduduk kampung berkenaan sejak dahulu lagi.

“Penduduk di Kampung Beliong sudah pun bergantung kehidupan kepada sungai sejak 94 tahun lalu sejak kampung ini dibuka lagi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pergerakan penduduk kini boleh dikatakan lebih mudah kerana hanya perlu menyeberang menggunakan perahu tambang ke seberang kampung yang hanya mengambil masa beberapa minit, berbanding menuju ke Pending dahulu yang memakan masa agak lama.

“Kepayahan yang dialami penduduk di Kampung Beliong amat sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata, hanya mereka yang merasai sendiri pahit getir menggunakan pengangkutan sungai ini dapat merasai sendiri pengalaman hidup dan kepayahan yang terpaksa ditempuhi,” katanya.

Katanya, bagi mereka yang tidak pernah merasai sendiri situasi yang dialami penduduk di Kampung Beliong mungkin tidak mengambil endah segala cabaran dan seribu kepayahan yang dialami mereka selama ini.

Bustari berkata, disebabkan jarak perhubungan yang sukar ke Kampung Beliong penduduk terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk mengangkut hasil pertanian mereka ke bandar.

“Malah, kami di Kampung Beliong yang mahu membina rumah terpaksa mengangkut barangan yang dibeli seperti bata, simen, atap, kayu dan sebagainya dengan kos yang berganda termasuk upah yang dikenakan oleh perkhidmatan perahu tambang,” tambahnya.

Katanya, pernah juga terjadi beberapa kes yang membabitkan motosikal terjatuh ke dalam sungai akibat perahu tambang karam.

Katanya, kampung itu sentiasa menjadi tumpuan orang ramai khasnya masyarakat Cina yang datang bersembahyang di tepekong berdekatan kampung itu pada hujung minggu.

“Sebagai anak jati di Kampung Beliong kami berharap jambatan akan dibina untuk menyeberang tanpa perlu lagi menggunakan perahu tambang,” katanya.

Katanya, penduduk juga difahamkan kerajaan mempunyai perancangan untuk menghubungkan kawasan itu melalui jalan raya dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) yang telahpun dihubungkan hingga ke Kampung Tanjung Bako pada masa sekarang.

Kampung Beliong mempunyai kira-kira 100 buah rumah dengan lebih 1,000 penduduk terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina dan Iban. – dayakdaily.com