Stor fail lama IPD Sibu musnah dalam kebakaran

Kebakaran di stor yang terletak di ruangan pejabat Bahagian Jenayah Komersil di tingkat satu bangunan tiga tingkat itu dipercayai akibat litar pintas. - dayakdaily.com

SIBU: Sebuah stor bagi menyimpan fail lama di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu di Jalan Tun Abang Openg di sini terbakar kira-kira pukul 7 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahari Abdullah berkata, kejadian tersebut disedari pegawai dan anggota yang masuk bertugas.

Kebakaran di stor yang terletak di ruangan pejabat Bahagian Jenayah Komersil di tingkat satu bangunan tiga tingkat itu dipercayai akibat litar pintas.

“Kebakaran tidak melibatkan bahagian lain dan fail-fail yang terbakar melibatkan kes-kes yang sudah ditutup,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kejadian tidak menjejaskan mana-mana siasatan oleh Bahagian Jenayah Komersil IPD Sibu.

Operasi bahagian tersebut berjalan seperti biasa.

Menurut beliau, bangunan itu dibina semasa ‘Rajang Area Security Command’ atau RASCOM diwujudkan pada tahun 1972.

Pendawaian elektrik di bangunan tersebut sudah usang dan perlu diganti.

Bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah menerima panggilan kebakaran dari IPD Sibu pada 7.20 pagi.- dayakdaily.com