SPRM tahan pegawai kastam minta rasuah

Suspek telah dibenarkan reman sehingga 12 Julai depan mulai hari ini oleh Majistret Muhammad Hafiz Muhd Noor mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Bintulu. - dayakdaily.com

BINTULU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kastam kerana dipercayai meminta rasuah bagi memudahkan proses pengeksportan bahan ‘piping & associated facilities’ ke luar negara oleh sebuah syarikat.

Suspek berusia 53 tahun ditahan di hadapan sebuah perhentian bas di Bintulu pada pukul 10.32 malam semalam.

Sumber berkata, perbuatan suspek terbongkar selepas orang awam membuat laporan kepada SPRM yang mengadu pegawai terbabit meminta wang berjumlah ribuan ringgit untuk proses melepaskan barangan eksport.

“SPRM sudah bertemu dengan wakil syarikat yang menjadi mangsa untuk mendapatkan maklumat dan mendapati suspek meminta USD10,000 bagi memudahkan pengeksportan bahan ‘piping & associated facilities’.

“Berikutan itu, SPRM bekerjasama dengan syarikat berkenaan untuk memerangkap suspek dan dia berjaya diberkas bersama wang tunai terlibat,” katanya.

Dalam operasi itu turut dirampas adalah dua buah telefon bimbit jenama Iphone dipercaya milik suspek yang digunakan dalam urusniaga itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan suspek tersebut.

Katanya, SPRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu sekiranya mereka didapati terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai akan dipanggil sekiranya perlu bagi membantu pasukan penyiasat melengkapkan siasatan .

Suspek telah dibenarkan reman sehingga 12 Julai depan mulai hari ini oleh Majistret Muhammad Hafiz Muhd Noor mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Bintulu. – dayakdaily.com