SPRM tahan dua pegawai HDC Sarawak dan seorang pengurus syarikat

Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC)

KUCHING -Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak bagi membantu siasatan berhubung tender mengecat dan membaik pulih yang tidak dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik di Miri, Sarawak.

Turut ditahan dalam operasi sekitar pukul 12 tengah hari hingga 1.20 petang itu ialah seorang pengurus yang dilantik untuk melaksanakan projek tender yang dibuka pada April 2015 itu.

Suspek ditahan merupakan seorang jurutera dan juruteknik kanan yang masing-masing berusia 39 dan 59 tahun, manakala pengurus yang ditahan itu berusia 49 tahun.

Sumber berkata, tender tersebut telah dibuka oleh HDC Sarawak pada 2015 bagi kerja-kerja mengecat dan membaikpulih 12 unit rumah flat dua tingkat di Miri yang terbakar.

Sebanyak 10 permohonan diterima dengan sebuah syarikat kemudiannya dilantik melalui nilai tawaran harga melebihi RM2 juta.

“Bagaimanapun syarikat itu melantik sebuah lagi syarikat sub kontraktor milik individu lain bagi melaksanakan kerja-kerja mengecat dan membaiki kerosakan 47 blok bangunan.

“Syarikat pada 2016 telah membuat tuntutan pembayaran berjumlah RM11,969 kepada HDC sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilakukan.

“Perakuan kerja siap dikeluarkan oleh pihak HDC pada November 2015 sedangkan kerja-kerja mengecat dan membaikpulih sebanyak 12 unit rumah pangsa gagal dilaksanakan,” katanya.

Difahamkan, maklumat berhubung kes tersebut diperolehi oleh SPRM menerusi laporan audit negara 2016.

Pengarah Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata kesemua suspek akan direman esok bagi membantu siasatan. – dayakdaily.com