SPRM buka kertas siasatan berhubung pembelian hotel FIC di Kuching

Pasukan penyiasat SPRM membawa dokumen yang diambil untuk siasatan lanjut dari sebuah pejabat yang disyaki terlibat dalam kontroversi pembelian sebuah hotel bertaraf empat bintang di Kuching.- SPRM

KUCHING – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan ke atas pembelian sebuah hotel di Kuching oleh Felda Investment Corporation (FIC) pada 2014.

Kertas siasatan berhubung pembelian hotel itu dibuka susulan maklumat yang diterima oleh
pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London oleh FIC
sebelum ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad telah mengarahkan kertas siasatan dibuka untuk menyiasat pembelian hotel tersebut yang disyaki telah dibeli dengan harga yang lebih tinggi
dari pasaran.

Menurutnya, pasukan penyiasat telah pergi ke enam lokasi di Kuala Lumpur serta Kuching, Sarawak hari ini untuk mengumpul maklumat berhubung pembelian hotel tersebut.

“SPRM turut merampas dokumen-dokumen berkaitan yang dipercayai mempunyai maklumat-
maklumat berhubung pembelian hotel tersebut.

“SPRM juga akan meneliti kesemua dokumen tersebut untuk mengenalpasti sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, menerusi maklumat siasatan awal yang diperolehi, FIC dipercayai telah membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian ratusan jutaan ringgit.

“SPRM juga akan memanggil beberapa orang saksi penting dalam masa terdekat bagi tujuan
merakam percakapan untuk mendapatkan maklumat serta bukti yang kukuh sebelum tindakananjut diambil dalam masa terdekat,” ujarnya lagi. – dayakdaily.com