SPRM beri amaran tidak keluarkan kenyataan media berhubung siasatan kes

SPRM-MACC

KUCHING – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak atau individu agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media berhubung kes yang sedang disiasat.

Ketua Pengarah SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, SPRM mendapati perkara tersebut telah menjadi satu trend atau amalan ketika ini dan menasihati mereka yang berkenaan supaya memberhentikan perbuatan tersebut kerana ia boleh mengganggu dan menjejaskan perjalanan siasatan.

Tegas beliau, SPRM memandang serius perkara ini kerana perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 48(h) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

“Mana-mana individu yang mengganggu, menakutkan, mengancam atau melarikan atau cuba untuk mengganggu, menakutkan, mengancam atau melarikan mana-mana orang yang terlibat dalam penyiasatan di bawah Akta ini telah melakukan satu kesalahan.

“Sehubungan itu, mana-mana individu atau pihak yang mempunyai sebarang keterangan yang boleh membantu siasatan diminta tampil kepada SPRM untuk dirakam percakapan dan bukan membuat kenyataan media,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dzulkifli menegaskan, SPRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan perbuatan tersebut mengikut Seksyen 48(h) ASPRM yang mana seseorang yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara dua tahun.

Selain itu ujarnya, SPRM juga memandang serius perbuatan segelintir pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap tindakan-tindakan yang diambil oleh SPRM dengan tujuan untuk mencemarkan dan menjejaskan reputasi SPRM.

“Oleh yang demikian, SPRM tidak akan sama sekali bertolak ansur dengan perbuatan sedemikian dan bersedia untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati menyebarkan fitnah tersebut sama ada berbentuk sivil atau jenayah,” tegasnya lagi. – dayakdaily.com