SMK Marudi contoh keharmonian kaum di negara ini

Pelajar SMK Marudi element-element lawak and kebudayaan di dalam persembahan mereka. - dayakdaily.com

MARUDI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi boleh menjadi contoh keharmonian kaum yang unik di negeri ini.

Dengan mempunyai 780 penghuni asrama setakat ini, terdapat lebih daripada 16 kaum terdiri daripada Melayu, Iban, Cina, Kayan, Kiput, Kelabit, Penan dan banyak lagi, duduk bersama dalam keadaan yang harmoni di sekolah berkenaan.

Ketua Warden Asrama, Rayner Robert berkata,sekolah itu adalah antara salah satu sekolah yang amat unik kerana mempamerkan pecahan kaum yang paling luas.

“Yang paling penting ialah perbezaaan agama dan bangsa tidak memisahkan mereka kerana dapat duduk dalam satu keadaan yang aman dan harmoni senantiasa,” katanya.

Katanya, keharmonian itu harus dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila oleh semua rakyat Malaysia.

“Hanya melalui perpaduan yang erat, kita akan mampu mencapai wawasan yang kita impikan dan yang utama sekali, aspirasi kemenjadian murid akan menjadi satu kekuatan kita di SMK Marudi,” katanya.

Menurutnya lagi, penganjuran Malam Pra-Gawai khas untuk penghuni asrama sekolah tersebut memberi peluang kepada guru-guru dari Semenanjung Malaysia seramai 80 orang yang bertugas di sekolah itu, berpeluang untuk sama-sama merasai keunikan sambutan Hari Gawai yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Program yang sudah menjadi tradisi bertahun lamanya di sekolah tersebut dijadikan platform yang terbaik untuk mengeratkan tali persefahaman di antara penghuni asrama yang berbilang kaum, dalam usaha untuk mengekalkan keharmonian antara kaum yang unik di daerah Baram.

Dalam Malam Pra-Gawai Asrama tersebut, sebanyak lima pertandingan dipertandingkan iaitu, Pertandingan Nyanyian Solo dan Duet, Pertandingan Sketsa, Pertandingan Poco-poco dan Pertandingan Kumang dan Keling Gawai.

Sambutan malam tersebut, diakhiri dengan menjemput seluruh warga sekolah, termasuk guru dari Semenanjung yang bertugas di sini untuk terlibat dalam upacara “Ngajat Ngetas Ranyai” yang menjadi simbolik dalam perayaan Gawai Dayak. – dayakdaily.com