Sinaran Ratu Siska ‘Raja Sungai Batang Kayan 2017’

LUNDU: Regata Lundu 2017 menyaksikan ‘Raja Sungai Batang Kayan 2017’ milik Sinaran Ratu Siska selepas mengungguli saingan akhir acara Bidar 30 Pekayuh Lelaki Terbuka, petang semalam.

Perahu milik Mohd Nusi Jamali itu berjaya menewaskan pencabar mereka Yayasan Sarawak Puteri Dang Balai perahu kepunyaan Mohd Adzlie Ibrahim yang sekadar berpuas hati di tempat kedua manakala pasukan Cahaya Sulung perahu kepunyaan Jee Kuek Haw menduduki tempat ketiga.

Dengan kemenangan itu pasukan Sinaran Ratu Siska membawa pulang Piala Pusingan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.3 Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu, dan hadiah wang tunai sebanyak RM4,000, piala kejuaraan dan sebuah trofi.

Berucap di majlis penangguhan regatta itu di Tebingan Lundu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaffar berkata, Regatta Lundu menjadi bagi daerah itu dengan pelbagai aktiviti menarik serta memberi pulangan ekonomi kepada penduduk.

Katanya, perancangan rapi telah dibuat agar program Itu dapat berjalan dengan lancar.

“Regatta ini secara tidak langsung mengetengahkan Lundu di kalangan masyarakat luar termasuk pelancong dari dalam dan luar negara.

“Daerah ini mempunyai banyak keunikan dan alam semula jadi yang sesuai sebagai tarikan pelancongan,” katanya.

Sehubungan Itu, Ahli Parlimen Santubong itu meminta masyarakat supaya bersama-sama membangunkan daerah Lundu.

“Kita mesti bekerjasama bagi memastikan agenda membawa pembangunan dan kemajuan di daerah ini dapat direalisasikan,” katanya.

Menurutnya lagi, penduduk tempatan bakal mendapat manfaat dengan pembinaan Pusat Matrikulasi yang menelan perbelanjaan RM150 juta yang akan dibina di kawasan DUN Tanjung Datu.

Pengisian yang menarik pengunjung penganjuran selama tiga hari pesta berlangsung mulai Jumaat lalu ialah Showcase Usahawan dan Sarawak Kitchen, Ekspo Pertanian Lundu, Ekspo Usahawan (RISDA), Bazar Belia, Karnival pelbagai jualan/ promosi produk penjaja, pentas hiburan dan banyak lagi. – dayakdaily.com