Sikap terlalu pilih kerja punca pengangguran di kalangan graduan

Joseph Entulu bersalaman dengan penduduk - dayakdaily.com

SELANGAU: Sikap segelintir graduan yang terlalu memilih pekerjaan menyebabkan berlakunya pertambahan pengangguran.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, sikap terlalu bergantung kerja kepada kerajaan perlu dikikis dalam diri graduan dengan menceburi diri dalam bidang perniagaan dan usahawan.

“Bidang perniagaan dan usahawan terbuka luas pada hari ini, malah menjanjikan pendapatan yang tinggi jika diusahakan secara bersungguh-sungguh,” katanya di Majlis Ngiling Bidai 2017 di rumah Juti, Pengakalan Lobang, di sini.

Katanya, sikap terlalu memilih kerja menyebabkan pertambahan pengangguran di negara ini meningkat dari masa ke semasa.

“Selain itu, keinginan dan harapan seseorang untuk mendapatkan pekerjaan dengan kerajaan atau swasta juga memberi impak kepada kadar pertambahan pengangguran.

“Negara kita sebenarnya mempunyai banyak peluang pekerjaan yang hanya menunggu kita untuk mentransformasikannya menjadi sesuatu kerjaya yang boleh menjana pendapatan,” katanya.

Ahli Parlimen Selangau itu turut berjanji akan terus memberi perhatian kepada setiap permasalahan rakyat di kawasan itu.

“Kita akan meneruskan usaha membawa pembangunan kepada rakyat secara keseluruhan.

“Hasil usaha yang telah dilakukan Barisan Nasional (BN) rumah-rumah panjang di kawasan ini sudah menikmati kemudahan bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya,” katanya.

Justeru, beliau berharap rumah panjang yang belum disediakan kemudahan itu supaya bersabar dan terus memberi sokongan kepada kerajaan.- dayakdaily.com