Sibu jadi tuan rumah Hari Malaysia peringkat negeri

(dari kiri) Pengarah Unit Protokol dan Perhubungan Awam Negeri Datuk Khir Busrah, Datuk Seri Wong Soon Koh dan Residen Sibu Hii Chang Kee. - dayakdaily.com

SIBU: Sibu akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia peringkat Sarawak yang akan diadakan di Dataran Bandar Sibu di sini pada 16 Sept ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, sambutan yang mempunyai element patriotisme dan hiburan akan bermula 7 malam.

Prasambutan bermula 7 malam dengan konsert menampilkan artis tempatan sementara menunggu ketibaan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib pada 8 malam.

“Mereka akan disambut oleh 100 murid dan diiringi paluan Gendang 1Malaysia merangkumi hadrah dan tarian singa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Wong merupakan menteri bertanggungjawab terhadap sambutan itu berkata, lagu negeri akan menyusuli ketibaan Taib dan ini diikuti dengan persembahan pembukaan bertajuk “Keindahan Malaysia” yang menampilkan tarian tradisional dan pengibaran semua bendera negeri di Malaysia.

Tun Taib akan melancarkan sambutan selepas ucapan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Selesai pelancaran itu, pengarah Jabatan Penerangan Sarawak Abang Sardon Abang Hashim yang mengetuai Konvoi Kembara Jalur Gemilang akan menyerahkan Jalur Gemilang kepada Tun Taib.

Bendera itu kemudiannya akan diserahkannya kepada pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia untuk dinaikkan dan dikibarkan dengan iringan lagu Negaraku.

Menyusul selepas itu ialah persembahan selama 15 minit bertajuk ‘Malaysia Negaraku’ oleh 300 peserta yang menampilkan deklamasi sajak berselang-seli dengan lagu dan tarian sebelum program diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

Sehubungan itu, Wong mempelawa orang ramai datang memeriahkan suasana selain mengibarkan Jalur gemilang di premis masing-masing bagi meraikan Hari Malaysia. – dayakdaily.com