Seronok buat aksi ‘superman’, sampai tidak sedar diekori polis

Suspek ditahan untuk siasatan.

KUCHING, 18 Okt: Seorang lelaki leka menjadi ‘superman’ sehingga tidak menyedari dirinya diekori polis dari simpang Telaga Air hingga persimpangan lampu isyarat Matang Jaya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata aksi merbahaya tersebut dikesan oleh sepasukan polis dari bahagian risikan BSPT IPD Padawan dalam Ops Samseng Jalanan pada Ahad lalu.
Katanya, pasukan operasi kemudian mengekori suspek berusia 20 tahun terbabit sebelum bertindak menahannya untuk siasatan lanjut.
“Pasukan operasi telah nampak suspek menunggang motosikal jenis Yamaha E115M dengan melakukan aksi merbahaya dan melulu.
“Dia dilihat meniarap dada di tempat duduk dengan kaki lunjur ke belakang ala-ala superman di lampu isyarat Telaga Air.
“Pasukan risikan kemudian mengekorinya sehingga lampu isyarat Matang Jaya dan seterusnya menjalankan tangkapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, suspek ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Suspek bersama motosikalnya kemudian dibawa ke pejabat BSPT IPD Padawan untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily.