Semarakkan bulan merdeka, Unimas kibar Jalur Gemilang

Kadim menyerahkan Jalur Gemilang kepada kakitangan Unimas bagi menyemarakkan bulan kemerdekaan negara - dayakdaily.com

KOTA SAMARAHAN: Membangkitkan semangat cintakan negara, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menyemarakkan bulan kemerdekaan dengan pengibaran jalur gemilang di universiti itu.

Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, sempena bulan kemerdekaan ini Jalur Gemilang turut dikibarkan di beberapa bahagian fakulti dan pusat yang terdapat di universiti itu sepanjang bulan Ogos ini.

“Kita mahu seluruh warga Unimas menghayati erti kemerdekaan yang membawa pengertian cukup besar kepada negara,” katanya.

Katanya, kemerdekaan negara tidak datang bergolek sebaliknya hasil perjuangan pemimpin terdahulu.

“Oleh itu, sebagai warganegara kita mesti sama-sama menghayati erti merdeka bagi meneruskan kesinambungan pembangunan negara,” katanya.

Katanya, nikmati kemerdekaan telah menjadikan negara ini maju dan makmur manakala rakyat dapat hidup dalam suasana yang aman dan harmoni.

Lebih 200 Jalur Gemilang diedarkan kepada warga Unimas bagi menyemarakkan semangat patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017 di hadapan pintu keluar universiti berkenaan semalam.

Turut sama mengedarkan Jalur Gemilang ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim, Pendaftar Unimas, Henry Tening ak Sengeng dan Pengarah Unimas Global, Profesor Madya Abang Ekhsan Abang Othman. – dayakdaily.com