Sebutan semula kes inspektor tembak wanita dipercayai isteri pada 24 Julai ini

Mohammad Sohfian Abu Hassan, 36 merupakan Ketua Bahagian Pengurusan di Ibu Pejabat Polis Daerah Belaga didakwa menembak Christie atau nama Islamnya, Siti Nadirah Abdullah, 33, menggunakan sepucuk pistol di sebuah rumah di Kampung Kakai di sini, pada pukul 3.15 petang, 21 Mei lalu. -dayakdaily.com

SERIAN – Mahkamah Majistret di sini menetapkan 24 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang didakwa menembak mati wanita dipercayai isterinya di Kampung Kakai pada 21 Mei lalu.

Hakim Marutin Pagan menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwa raya memaklumkan memerlukan masa untuk menyemak semula dokumen berkaitan sebelum diserahkan kepada pihak pembelaan.

“Mahkamah memutuskan kes ini disebut semula bagi memberi masa kepada pasukan pendakwa raya untuk melengkapkan kertas pertuduhan,” katanya.

Tertuduh, Mohammad Sohfian Abu Hassan, 36, dari Arau, Perlis yang merupakan Ketua Bahagian Pengurusan di Ibu Pejabat Polis Daerah Belaga didakwa menembak Christie atau nama Islamnya, Siti Nadirah Abdullah, 33, menggunakan sepucuk pistol di sebuah rumah di Kampung Kakai di sini, pada pukul 3.15 petang, 21 Mei lalu.

Mohammad Sohfian didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mengikut laporan media sebelum ini, tertuduh yang disahkan positif dadah semasa kejadian, menembak mati Siti Nadirah yang didakwa isterinya semasa wanita itu sedang berehat dalam bilik di rumah ibunya di Kampung Kakai, manakala Mohammad Sohfian baru pulang menghadiri mesyuarat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Kuching.

Mangsa yang dipercayai mengandung kira-kira dua bulan maut di tempat kejadian akibat terkena dua das tembakan pada bahagian leher dan kepalanya.

Punca tertuduh menembak mati wanita tersebut adalah bermotifkan masalah peribadi.

Pasangan tersebut bukanlah suami isteri seperti didakwa memandangkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menunjukkan mereka pernah berkahwin.

Namun, siasatan awal polis percaya mereka telah berkahwin tetapi tidak diisytiharkan. – dayakdaily.com