Satu lagi kes jangkitan virus rabies dicatatkan di Serian

KUCHING – Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) hari ini mengesahkan terdapat satu lagi kes baru melibatkan seorang pesakit yang disahkan dijangkiti virus rabies atau anjing gila di negeri ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, kes terbaharu itu melibatkan seorang pesakit dari Kampung Ampungan, Serian dekat sini.

Menurut kenyataan sama, pesakit yang sah dijangkiti virus rabies itu merupakan mangsa keempat yang terkena jangkitan virus rabies di negeri ini.

“Setakat ini, terdapat empat pesakit yang sah positif dijangkiti virus rabies, namun dua pesakit telah meninggal dunia pada 4 Julai lalu.

“Pesakit ketiga pula, iaitu melibatkan kanak-kanak pe­rempuan berusia tujuh tahun kini masih kritikal dan mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Umum Sarawak (HUS),” kata kenyataan itu.

Dayakdaily.com sebelum ini melaporkan dua beradik, Jackson Mazlan, 4, dan kakak­nya, Monica, 6, yang berasal dari Kampung Paon, Sungai Rumi, Serian meninggal dunia pukul 1.43 dan 1.46 di HUS pada 4 Julai lalu.

Kenyataan sama menambah, JKNS melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif (ACD) telah berjaya mengesan sebanyak 204 kes gigitan anjing dari kawasan di zon merah dan juga zon kuning di bahagaian Serian.

Jelas kenyataan itu, seramai 154 kes daripada 204 kes yang perlu menerima vaksin telah pun diberi vaksin anti-rabies.

“Pasukan kesihatan juga sedang berusaha mengesan kes-kes yang belum datang untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“JKNS juga telah menjalankan aktiviti memberi penerangan dan juga pendidikan kesihatan secara perbincangan individu mengenai wabak rabies serta cara-cara membersih luka sejurus selepas digigit anjing atau haiwan liar,” ujar kenyataan itu.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut memberitahu, setakat ini, seramai 9,229 penduduk dari 3,715 pintu rumah di *l96 penempatan telah diliputi.

Selain itu, JKNS juga turut membuat hebahan di radio dan television untuk menerangkan kepada umum berhubung wabak rabies ini.

“Sehingga hari ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah memvaksinkan 1,183 binatang peliharaan di tujuh buah kampung yang telibat dengan wabak rabies iaitu Kampung Krait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paon Rimu Bakong, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Empasa dan Kampung Tong Nibong.

“Daripada jumlah tersebut, 241 anjing, 929 kucing dan 13 haiwan lain seperti kera dan tupai telah disuntik vaksin anti-rabies,” kata kenyataan itu. – dayakdaily.com