Sarawak sentiasa memberi sokongan penuh kepada kerajaan Persekutuan

BINTULU – Sarawak sentiasa memberi sokongan penuh kepada kerajaan Persekutuan dan sentiasa menginginkan hubungan baik yang sedia terjalin kekal selamanya.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kerajaan negeri yang diterajuinya ini sentiasa memberi sokongan penuh kepada kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, tegas beliau, meskipun kekal berada dalam Malaysia tidak bererti Sarawak tidak boleh menuntut hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia yang ditandatangani 54 tahun lalu di London.

“Rundingan dengan kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan hak-hak Sarawak yang sudah lama terhakis tetap akan diteruskan.

“Saya juga telah menghantar rombongan Peguam ke London untuk membuat penyelidikan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 dan mereka telah kembali dengan beberapa penemuan penting untuk menyokong hujah-hujah kita” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2017 di pekarangan Dewan Suarah di sini hari ini.

Turut hadir ialah, Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; isteri Ketua Menteri, Datin Amar Juma’ani Tunku Bujang serta menteri-menteri kabinet negeri.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, usaha kerajaan negeri untuk menuntut hak Sarawak tidak bererti sokongan kerajaan terhadap kewujudan dan kedaulatan Malaysia sudah berbelah bagi.

“Kita menyokong kuat kerajaan Persekutuan dan mahu hubungan kedua-dua kerajaan kekal rapat serta kukuh selamanya,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 10,000 orang telah hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri ini.- dayakdaily.com