Sarawak sasar eksport perabot dan produk nilai tambah cecah RM8 billion menjelang 2030

Awang Tengah (barisan belakang, sepuluh dari kiri) bersama peserta program SayD'signers Sarawak selepas majlis penyampaian sijil.

KUCHING, 6 Dis: Sarawak mensasar eksport perabot dan produk nilai tambah meningkat ke paras RM8 billion menjelang tahun 2030, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Justeru katanya, kerajaan sekarang sedang melaksanakan program tranformasi industri perkayuan dimana tumpuan adalah untuk membangun industri hiliran dan tambah nilai termasuk industri perabot.

“Industri perkayuan adalah sektor komoditi eksport yang ke-empat pentingnya setelah petroleum, gas dan LNG dan sawit sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Sarawak dan industri ini telah menjadi satu tunjang utama kepada ekonomi negeri sejak tahun 1960an lagi,” katanya.


Menurut satu kenyataan, beliau berkata demikian di Majlis Penutupan ‘STIDC–FSRD ITB Furniture Design Training Programme’ dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Kepada 26 peserta Sarawak Young Designers (SayD’signers Sarawak).

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Pembangunan Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan di majlis yang di adakan di Hotel Pullman, Bandung.

Dalam pada itu, Abang Johari berharap peserta program SayD’Signers Sarawak yang telah bermula pada 2018 akan menunjukkan kejayaan mereka pada satu hari nanti dengan menjadi pereka perabot terunggul di dunia.

“Saya sangat gembira mengetahui bahawa setakat ini program ini telah menghasilkan 26 pereka muda yang telah tamat latihan di Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia sejak tahun 2019,” katanya.

Tambah Abang Johari, kejayaan Program SayD’Signers Sarawak ini akan memberi impak tinggi ke atas pembangunan industri perkayuan di Sarawak terutamanya kepada industri perabot.

Beliau berbangga kerana program itu telah mengeluarkan hasil pereka muda yang sangat diperlukan untuk membantu membangunkan industri perabot di Sarawak.

“Pencapaian ini menjadi kebanggaan Kerajaan Negeri Sarawak dan yakin juga kepada ITB atas penglibatan ITB untuk program di luar Indonesia,” ujarnya. — DayakDaily