Sarawak menarik perwakilan MTPB dengan serta merta

Minister of Tourism, Arts, Culture, Youth and Sports.

KUCHING – Kerajaan negeri Sarawak hari ini memutuskan untuk menarik perwakilan dalam Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (MTPB) berkuatkuasa serta-merta.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Sarawak, keputusan itu diambil susulan peranan dan fungsi yang dilakukan MTPB adalah sama dengan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).

Kerajaan negeri Sarawak hari ini memutuskan untuk menarik perwakilan dalam Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (MTPB) berkuatkuasa serta-merta. – dayakdaily.com

Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Ambrose Cheng mengesahkan kenyataan tersebut bila dihubungi dayakdaily.com.

Sementara itu, Pengerusi Pemuda BN Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof membidas kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang menyifatkan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Abdul Rahman Hamzah sebagai menteri ‘setahun jagung’.

“Tindakan melabelkan Menteri Sarawak sebagai ‘setahun jagung’ dan masih ‘budak’ lagi merupakan suatu penghinaan , malah boleh menjejaskan imej dan semangat kekeluargaan dalam Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya,” kata Fadillah dalam satu kenyataan.

Harus diingatkan, beliau (Karim) telah diberi kepercayaan oleh pucuk kepimpinan negeri untuk menerajui kementerian berkenaan di peringkat negeri.

Menteri Kerja Raya itu turut mengecam tindakan melabelkan sesama BN sebagai ‘samseng’ juga tidak wajar sama sekali kerana ia bukan sahaja satu penghinaan kepada individu terbabit malah boleh menjejaskan imej parti, apatah lagi ‘samseng’ bukanlah budaya dalam BN, apatah lagi dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Tegas beliau, sebagai sebuah keluarga besar dalam BN, apa juga isu terutama menyentuh sensitiviti rakyat di mana-mana peringkat, seharusnya ditangani secara musyawarah dalam semangat BN, bukannya menerusi kenyataan umum atau menerusi hebahan media, kerana ia boleh mencetuskan kemarahan nitizen.

“Jika ada isu-isu yg hendak dijelaskan, maka ianya harus dilakukan secara baik dan berhemah dan bukannya dengan memperlekehkan sesama pemimpin dalam parti komponen yang sama.

“Kita boleh berbincang, berbeza pendapat dan seterusnya mengambil kesempatan itu untuk bermuafakat bagi mendapatkan penyelesaian terbaik kepada semua perkara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadillah juga memberitahu, Pemuda BN Sarawak berpendirian bahawa semangat saling menghormati dan permuafakatan antara pemimpin dalam parti komponen BN harus diutamakan dengan sebarang perbezaan pendapat mestilah diselesaikan dalam saluran parti yang harmoni.

“Dalam berdepan apa juga isu, Pemuda BN Sarawak berpendirian yang paling utama ialah semangat dalam sebuah keluarga besar iaitu keluarga BN, parti yang telah diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat, perlu dijunjung dan dipertahankan,” katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Sarawak, Abdullah Saidol menegaskan kenyataan yang dikeluarkan Nazri jelas mencerminkan beliau berlagak dan terlalu sombong.

Sindirnya, Nazri sepatutnya lebih berhemah serta berilmiah ketika mengeluarkan sebarang kenyataan terbuka.

“Kata dah lama jadi Menteri, sebagai orang lama dalam politik dan pernah jaga hal-ehwal undang-undang Persekutuan..tentu awak lebih arif.

“Wahai Pak Menteri…’mutual respect goes both ways ok…Kita bangkit sesuatu yang berkaitan dengan hak negeri..jangan bagi alasan ‘Federal List’ macam itu sahaja.

“Selamilah sentimen semasa di Sarawak sekarang ini…kedudukan Sarawak dalam Malaysia bukan seperti negeri-negeri lain di Semenanjung,” katanya.

Bekas Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri itu dalam nada tegas menempelak tindakan Nazri yang berlagak seperti ‘samseng’.

“Engkau ingat kita di Sarawak ini boleh dikotak-katik macam itu saja kah? Kenapa tiba-tiba cakap pasal ‘Samseng’ pula!

“Samseng sangat ke awak tu..? Jangan fikir tahap samseng engkau saja.

“Perangai “Feudalism” atau “Kebangsawanan” dalam kalangan orang politik seperti awak inilah yang buat rakyat meluat dan menyampah dengan budaya politik dalam negara kita sekarang ini,” tegasnya.

Semalam, Nazri dipetik sebagai berkata, Abdul Karim tidak memahami pelaksanaan cukai pelancongan yang bakal berkuatkuasa pada 1 Ogos depan.

“Tak payahlah bangkitkan agreement tu. Kami tahulah,” kata Nazri.

Sambil menegaskan bahawa cukai baru itu sebahagian daripada cukai persekutuan, Nazri berkata kerajaan membuat keputusan untuk menjadikannya sebagai cukai kerajaan persekutuan bagi mengelakkan kekeliruan.

“Bila jadi cukai federal tak berbangkit soal kita rampas hak Sarawak.

“Dia menteri baru, dia menteri BN, janganlah nak tunjuk lagak sangat. Jumpa saya, saya pun menteri BN.

“Saya jadi menteri bukan setahun dua, banyak tahun dah. Apa-apa hal kita sama-sama kerajaan. Di Sarawak tu kerajaan BN, federal pun BN..Jumpalah saya. Awak ni baru lagi, setahun jagung. Jangan cakap banyaklah,” kata Nazri lagi. – dayakdaily.com