Sarawak ambil keputusan bijak sertai pembentukan Malaysia pada 1963 – Abang Johari

KUCHING – Kerajaan negeri Sarawak telah mengambil keputusan bijak apabila membentuk Persekutuan Malaysia setelah menandatangani Perjanjian Malaysia di London pada Julai 1963.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, selepas 22 Julai 1963, Sarawak telah membuktikan kepada dunia bahawa negeri ini mampu melaksanakan pentadbiran sendiri tanpa memerlukan bantuan mana-mana pihak dari London.

Menurut beliau, Sarawak bertuah kerana tidak perlu mendapatkan kemerdekaan melalui peperangan dan pertumpahan darah, sebaliknya melalui rundingan kerana British tahu bahawa zaman mereka menjadi penjajah sudah berakhir dan oleh itu perlu menyerahkan apa yang mereka miliki seperti yang dijanjikan Rajah Ketiga Charles Brooke pada 1941.

“Genap 54 tahun yang lalu, rakyat Sarawak telah membuat tiga keputusan penting iaitu pemimpin dan rakyat kita pada ketika itu memutuskan untuk bebas daripada pemerintahan penjajah.

“Malah, saya masih ingat ketika itu saya berusia 13 tahun, tetapi saya cukup mengetahui bahawa sesuatu yang sangat penting sedang berlaku kerana saya dapat melihat beberapa orang datang ke rumah kami untuk berjumpa bapa saya (Tun Abang Haji Openg Abang Sapiee).

“Salah seorang daripada mereka ialah Apai Jugah (Tun Jugah Barieng) yang bertemu dengan ayahanda saya dan memanggilnya “menyadi” dalam Iban atau “saudara”. Ong Kee Hui juga datang dan dia memanggil bapa saya “abang”.

“Rupa-rupanya, pada hari ini iaitu 54 tahun yang lalu, kita mempunyai gabenor kita sendiri iaitu bapa saya, Datuk Abang Haji Openg dan kabinet negeri kita sendiri yang diamanahkan untuk memerintah dengan cara kita sendiri tanpa arahan dari London,” katanya ketika berucap semasa sambutan Hari Sarawak di Tebingan Sungai Sarawak di sini hari ini.

Dalam pada, Abang Johari menegaskan sekali lagi bahawa Sarawak tidak akan keluar dari Malaysia kerana ia merupakan keputusan tepat yang telah dibuat oleh kepemimpinan terdahulu untuk menjadi sebagai rakan kepada pembentukan negara ini.

Bagaimanapun jelasnya, ia tidak bermakna kerajaan negeri tidak boleh mengadakan perundingan dengan kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan kembali hak dan apa yang menjadi milik Sarawak.

“Kita hanya mahu apa (hak) yang kepunyaan Sarawak…ia mudah seperti itu sahaja.

“Jadi saya sangat berharap agar rakyat di negeri ini akan terus memberikan sokongan kepada saya untuk berbincang dengan kerajaan Persekutuan bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik khususnya ke arah penyebaran kuasa kembali ke Sarawak,” katanya ketika berucap semasa sambutan Hari Sarawak di Tebingan Sungai Sarawak di sini hari ini.

Abang Johari juga memberitahu, semangat perpaduan dan persaudaraan yang kukuh dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini perlu terus dikekalkan.

Jelas beliau, pengekalan semangat itu penting dalam usaha kerajaan negeri merencenakan pelbagai agenda pembangunan untuk rakyat selari dengan matlamat mencapai status negeri maju seperti mana yang diimpikan oleh barisan pemimpin terdahulu.

“Begitulah semangat yang perlu kita ada sekarang bagi memastikan Sarawak terus maju seperti negeri-negeri lain dalam Malaysia,” ujarnya. – dayakdaily.com