Sanggup tanggung risiko bawa motosikal curi ke sempadan demi upah RM 2,500

Dua suspek ditahan pihak tentera kerana cuba membawa motosikal curi ke sempadan Indonesia - dayakdaily.com

SERIKIN: Dengan upah RM 2,500 dua lelaki sanggup menanggung risiko membawa motosikal curi ke sempadan walaupun sedar mereka melakukan kesalahan jenayah.

Bagaimanapun, cubaan dua lelaki berusia antara 23 dan 30 tahun itu berjaya di hidu pihak berkuasa.

Jurucakap Pemerintahan Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata,pasukan tentera berjaya menahan mereka ketika cubaan melintas sekatan yang sedang dilaksanakan di pos Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kem Serikin menuju ke sempadan Indonesia.

“Dua rakyat tempatan ini ditahan bersama dua buah motosikal yang tidak mempunyai dokumen,” katanya di sini hari ini.

“Hasil maklumat awal mendapati mereka telah dibayar sebanyak RM2,500 untuk membawa motosikal tersebut ke sempadan,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke balai polis Bau pada jam 1.30 tengahari ini.

“Nilai rampaaan motosikal model Yamaha FZ 150 dan Yamaha LC 135 dianggarkan berjumlah RM 12,000,” katanya. – dayakdaily.com