Sang bedal baham Agnes Luang tumpas di tangan pawang buaya

Sang bedal sepanjang kira-kira lima meter (m) itu berjaya ditangkap selepas termakan umpan daging yang dipasang pada mata kail di sekitar sungai berkenaan pada pukul 9 pagi. - dayakdaily.com

MARUDI – Seekor buaya yang menjadi buruan selepas membaham seorang remaja perempuan di Sungai Tapang Peking Baram pada 22 Februari lalu akhirnya tewas di tangan pawang buaya semalam.

Sang bedal sepanjang kira-kira lima meter itu berjaya ditangkap selepas termakan umpan daging yang dipasang pada mata kail di sekitar sungai berkenaan pada pukul 9 pagi.

Ketua masyarakat Iban di Peking, Jampang Kantan berkata, buaya seberat kira-kira 400 kilogram itu ditangkap oleh seorang pawang buaya yang dibawa khas ke rumah panjang mereka untuk memburu reptilia ganas berkenaan.

Katanya, pawang buaya itu diupah selepas mangsa, Agnes Luang, 18, dibaham sang bedal ketika dia sedang mandi bersama ibunya di sungai tersebut.

“Sebelum itu, pawang sama turut berjaya menangkap beberapa ekor buaya di sungai tersebut, namun penduduk setempat percaya ia bukan reptilia ganas yang membaham mangsa.

“Pawang buaya dengan bantuan penduduk rumah panjang itu dikatakan terpaksa bergelut dengan reptilia tersebut kerana sang bedal berkenaan sangat kuat dan agresif,” katanya.

Jampang memberitahu, buaya yang sudah diikat rahangnya kemudian diangkat ke dalam perahu sebelum dibawa ke rumah panjang untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, penduduk rumah panjang berkenaan memutuskan untuk membunuh buaya berkenaan sebagai membalas dendam terhadap kematian Agnes.

“Sejak buaya menyerang mangsa di sungai tersebut, penduduk setempat sudah tidak berani keluar menangkap ikan sebab bimbang perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan impian seorang remaja perempuan untuk melanjutkan pelajarannya selepas menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini tidak kesampaian apabila dia ditemui maut akibat dibaham buaya di Sungai Tapang Peking Baram di sini.

Mangsa ditemui oleh pasukan bomba dan penyelamat kira-kira dua kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan diserang dan dibaham reptilia itu. – dayakdaily.com