Sambutan Gawai tidak bermakna lagi bagi keluarga Christopher Rami

Mangsa yang dikenalpasti sebagai Christopher Rami, 44, dari Sungai Pinggai Undop disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badannya. - dayakdaily.com

SRI AMAN: Sambutan Hari Gawai yang bakal disambut lapan hari lagi bagaikan tidak bermakna buat sebuah keluarga di Rumah Panjang Jame di sini apabila kehilangan insan tersayang dalam satu kejadian kemalangan di Kilometer 28, Jalan Kuching-Sarikei semalam.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 7.30 malam itu, mangsa yang dikenalpasti sebagai Christopher Rami, 44, dari Sungai Pinggai Undop di sini disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Menurut Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Othman Sulaiman, sebelum kemalangan itu, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan dalam perjalanan menuju pulang ke rumahnya.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Proton Wira yang datang dari arah Sri Aman menuju ke Engkilili tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa.

“Impak rempuhan kuat mengakibatkan mangsa yang berbangsa Iban itu tercampak ke bahu jalan dan mengalami kecederaan parah, manakala pemandu kereta tersebut hanya cedera di bahagian atas kepalanya.

“Pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, Othman memberitahu, pihak polis sudah merakamkan keterangan daripada pemandu kereta, Nesau Unsan, 45, untuk tindakan seterusnya.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya bagi urusan pengkebumian.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – dayakdaily.com