S4S dan PKR Sarawak sokong Abdul Karim

Minister of Tourism, Arts, Culture, Youth and Sports.

KUCHING – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta parti pembangkang di negeri ini turut tidak ‘senang’ dengan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang menyifatkan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Abdul Rahman Hamzah sebagai ‘samseng’.

Ketua Pergerakan Sarawak for Sarawakians (S4S), Peter John Jaban berkata, sebagai Menteri Persekutuan atau menteri kanan, Nazri tidak patut berlagak sombong malah sepatutnya menjadi teladan kepada menteri yang baharu.

Tegasnya, tindakan Nazri yang membentangkan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 pada sidang Parlimen yang lepas tanpa perbincangan dengan kerajaan negeri Sarawak seolah-oalah tidak menghormati Perjanjian Malaysia 1963.

“Sarawak kini seakan-akan dibuli…ini adalah salah satu sebab mengapa Sarawak tidak lagi berminat untuk menjadi sebahagian daripada Persekutuan dan perlu diingatkan Sarawak tidak seperti negeri-negeri lain.

“Kedaulatan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama dalam Persekutuan Malaysia diancam melalui tindakan seumpamanya dan Sarawak haruslah dilihat sebagai sebuah negeri yang berdaulat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap S4S Zon Tengah, Bill Jugah turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan kenyataan ‘melampau’ yang dikeluarkan oleh Nazri terhadap Abdul Karim.

Jelas Bill, menteri di peringkat pusat sepatutnya mendapatkan pendapat dan persetujuan daripada kerajaan negeri Sarawak berhubung sesuatu dasar sebelum melakukan pengumuman terbuka.

“Rakyat Sarawak perlu sedar apa yang perlu dilakukan untuk masa depan mereka sendiri dan tidak menyerahkan kawalan kepada kerajaan Persekutuan,” ujarnya lagi.

Wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), See Chee How turut menyokong tindakan Abdul Karim yang mempertikaikan tindakan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan cukai pelancongan di negeri ini tanpa apa-apa perundingan dengan kerajaan negeri Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang itu menegaskan tindakan Abdul Karim adalah tepat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia.

“Nazri merupakan orang yang jahil, dan dia adalah benar-benar angkuh juga.” katanya.

Dalam menyokong pendirian Abdul Karim, Chee How berkata, kerajaan pusat tidak ada hak dalam hal berkenaan industri pelancongan di Sarawak.

Jelasnya, perkata tersebut boleh dilihat dengan penubuhan Kementerian Pelancongan peringkat negeri pada 1985.

“Hanya pada 1994, kerajaan Persekutuan memperkenalkan pindaan kabur dan meragukan menerusi rang undang-undang Pindaan Perlembagaan untuk menyenaraikan pelancongan dalam senarai persekutuan.

“Bagaimanapun, seperti mana disebut Abdul Karim, tiada rundingan atau persetujuan daripada kerajaan Sarawak dalam mengambil alih pelancongan yang merupakan perkara belum diperhalusi sebelum ia dijadikan bidang kuasa persekutuan pada 1994.” ujarnya yang juga Naib Presiden PKR Sarawak. – dayakdaily.com