Rumah Panjang Annah Rais cecah usia 200 tahun, ikon kebanggaan masyarakat Bidayuh

Ketahanan serta keunikan struktur Rumah Panjang Annah Rais adalah kerana menggunakan kayu belian sebagai bahan asas binaan rumah tersebut. - dayakdaily.com

PADAWAN – Meskipun usianya hampir mencecah 200 tahun, namun struktur Rumah Panjang Annah Rais tetap kukuh dan utuh malah berdiri gah sepanjang masa.

Mula dibina pada 1818, rumah panjang masyarakat Bidayuh itu bermula dengan hanya tiga buah pintu dan kini ia mempunyai kira-kira 150 pintu serta penduduk berdaftar berjumlah sekitar 1,500 orang.

Menariknya, walaupun usia rumah panjang itu hampir mencecah 200 tahun, ia tidak bermakna struktur bangunannya dikategorikan sebagai primitif kerana ia telah dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan bekalan air bersih.

Terletak kira-kira 60 kilometer (km) dari pusat bandar raya Kuching, Rumah Panjang Annah Rais boleh dikategorikan sebagai salah sebuah rumah panjang yang terpanjang di Sarawak.

Bukan sahaja itu, Rumah Panjang Annah Rais juga masih mampu mengekalkan keasliannya meskipun terdapat beberapa keluarga dengan inisiatif mereka sendiri melakukan pengubahsuaian daripada segi lantai, dinding dan atap rumah.

Malah ada dalam kalangan penduduk rumah panjang tersebut tidak lagi menggunakan dapur kayu kerana telah digantikan dengan dapur gas untuk kegunaan harian.

Namun begitu, kalau adapun ia akan dibina di luar rumah panjang iaitu di anjung rumah atau lebih dikenali masyarakat Bidayuh sebagai ‘tanju’.

‘Tanju’ merupakan antara ciri keaslian yang masih dikekalkan pada Rumah Panjang Annah Rais dan ia dibina dengan menggunakan buluh yang diperoleh dari kawasan hutan berhampiran.

Seorang penghuni rumah panjang itu memberitahu, ketahanan serta keunikan struktur Rumah Panjang Annah Rais adalah kerana menggunakan kayu belian sebagai bahan asas binaan rumah tersebut.

“Penggunaan kayu belian sebagai tiang serta pelantar ‘tanju’ amat sesuai kerana ia mampu bertahan hingga puluhan tahun.

“Kita tidak mampu untuk menukar tiang dan pelantar setiap tahun kerana harga kayu belian mahal malah sukar diperoleh lebih-lebih lagi yang berkualiti tinggi,” katanya ketika ditemui dayakdaily.com baru-baru ini.

Tambah penghuni itu, kira-kira 20 tahun lalu, lantai rumah panjang tersebut kebiasaanya diperbuat daripada buluh, namun sejak kebelakangan ini tidak ramai menggunakan buluh kerana lebih gemar memilih penggunaan papan sebagai lantai rumah.

Jelasnya, pengunaan papan lebih tahan lama berbanding lantai buluh yang memerlukan penjagaan rapi kerana ia mudah reput sekiranya diserang serangga.

“Perubahan masa dan gaya hidup generasi sekarang telah sedikit sebanyak mengubah wajah rumah panjang ini, namun ciri-ciri tradisional tetap dipelihara,” ujarnya lagi.

Buat masa ini, Rumah Panjang Annah Rais amat popular dalam kalangan pelancong sama ada pelancong tempatan dan pelancong asing setelah ia diisytiharkan sebagai kampung tradisi oleh kerajaan.

Penduduk di rumah panjang tersebut juga menyediakan pakej penginapan atau inap desa kepada para pelancong yang ingin melihat sendiri secara dekat mengenai keistimewaan kebudayaan yang diamalkan di perkampungan Bidayuh itu.

Ekonomi penduduk di situ yang dahulunya bergantung sepenuhnya pada sektor pertanian telah berubah selepas pakej pelancongan inap desa diperkenalkan di rumah panjang tersebut. -dayakdaily.com