Rumah nyaris musnah dalam kebakaran di Kota Samarahan

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

KOTA SAMARAHAN, 17 Okt: Sebuah rumah di Taman Desa Ilmu, di sini nyaris musnah dalam kebakaran hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 11.59 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba Kota Samarahan terus ke lokasi kejadian.
“Setelah mendapati penghuni rumah tiada di rumah, pasukan bomba bertindak memotong mangga pintu dan terus memadam kebakaran di ruang tamu rumah tersebut.
“Setelah api berjaya dipadamkan anggota membuka semua tingkap dan setelah selesai dan mengambil sedikit maklumat Pasukan Bomba bertolak balik ke balai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dedahnya, punca kebakaran dipercayai api lilin, di mana penghuni rumah mengaku ada memasang lilin untuk bersembahyang pada awal pagi.
Sungguhpun begitu, siasatan lanjut masih dijalankan dan anggaran kerugian masih belum dapat dipastikan. — DayakDaily.