Remaja lelaki maut dibaham buaya di Sungai Kampung Kawi

BINTANGOR : Keseronokan sekumpulan remaja lelaki bermain di tebing sungai berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut dibaham buaya di Sungai Kampung Kawi di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu,mangsa, Andrian Tan, 13, ditemui dalam keadaan terapung di tebing sungai dengan keadaan paha kirinya dibaham oleh reptilia tersebut.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.07 malam.

Menurutnya, sebaik menerima laporan insiden itu, lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mayat mangsa sudah ditemui oleh penduduk kampung dan dibawa ke jeti sungai tersebut.

“Berdasarkan maklumat daripada penduduk kampung, remaja lelaki malang itu dikatakan sedang bermain-main di tebing sungai sebelum kakinya tiba-tiba dibaham dan ditarik ke tengah sungai oleh sang bedal,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Ling Hii memberitahu, panik melihat situasi itu, rakan mangsa kemudian berlari pulang ke kampung dan memaklumkan kejadian tersebut kepada bapa mangsa.

Katanya, penduduk kampung kemudian melancarkan gerakan mencari mangsa sebelum mayatnya ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang sebelum itu.

“Pasukan paramedik yang turut tiba di lokasi kejadian telah mengesahkan kematian mangsa.

“Mayat mangsa tidak dibawa ke hospital untuk dibedah siasat atas permintaan ahli keluarganya,” ujarnya lagi.

Sambil menambah, pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) sudah dimaklumkan dengan kes serangan buaya di sungai itu. – dayakdaily.com